Bayi yang hilang setelah diserahkan kepada seorang askar Amerika Syarikat (AS) di atas tembok lapangan terbang Kabul, Ogos tahun lalu, ditemui semula dan disatukan dengan keluarganya.
Ibu bapa Sohail Ahmadi – Mirza Ali Ahmadi dan isterinya Suraya – menyerahkan bayi mereka berusia dua bulan kepada askar AS pada 19 Ogos, bimbang dia terbunuh ketika orang ramai berasak-asak untuk meninggalkan negara itu, setelah Taliban mengambil alih Afghanistan.
Mereka mengambil masa lebih setengah jam untuk sampai ke seberang pagar lapangan terbang – tetapi apabila mereka tiba, anak lelaki mereka yang berusia dua bulan tidak ditemui.
Mereka menghabiskan beberapa hari mencarinya dan diberitahu dia mungkin telah dipindahkan.
Mirza, yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di kedutaan AS, ditempatkan dalam penerbangan pemindahan ke Qatar bersama isteri dan empat anaknya yang lain, akhirnya mendarat di AS.
Pada November lalu Sohail akhirnya dikesan di Kabul – dalam jagaan seorang pemandu teksi berusia 29 tahun bernama Hamid Safi yang telah menemukannya di lapangan terbang – dan membawanya pulang untuk dibesarkan sebagai anak sendiri.
Dan ia mengambil masa lebih tujuh minggu rundingan serta rayuan, selain campur tangan polis Taliban yang menahan Hamid, bagi memastikan lelaki itu menyerah semula Sohail kepada nenek dan saudara-maranya yang lain di Kabul.
Keluarga bayi itu kini cuba menyatukannya semula dengan ibu bapa dan adik-beradiknya di AS.
Hamid berkata dia menemukan Sohail seorang diri dan menangis di lapangan terbang pada hari yang sama dia berpisah dengan ibu bapanya.
Menurutnya dia gagal mencari keluarga bayi itu dan memutuskan untuk membawanya pulang kepada isteri dan anak-anaknya.
Hamid mempunyai tiga anak perempuan tetapi berkata, hasrat terbesar ibunya sebelum meninggal dunia ialah agar dia mendapat seorang anak lelaki.
Pada November dia memutuskan untuk membesarkan bayi itu tetapi akan menyerahkan semula jika keluarganya ditemui.
“Jika tidak, saya akan membesarkannya sendiri.”
Selepas berita mengenai kehilangan kanak-kanak itu disiarkan pada November, beberapa jiran Hamid mengenalinya dan menyiarkan komen berhubung keberadaan bayi berkenaan dalam versi terjemahan artikel itu.
Datuk Sohail, Mohammad Qasem Razawi, berkata dia membawa hadiah kepada Hamid – termasuk biri-biri yang disembelih dan pakaian – dan memintanya menyerahkan semula bayi itu.
Tetapi katanya, Hamid menolak.
Akhirnya, mereka menghubungi polis Taliban untuk melaporkan penculikan. Hamid menafikan menculik Sohail dan aduan itu ditolak.
Komander polis tempatan memutuskan untuk mengatur penyelesaian, dengan Qasem bersetuju membayar Hamid kira-kira 100,000 Afghani (RM4,000) untuk kos menjaga kanak-kanak itu selama lima bulan.
Ibu bapa bayi itu berkata mereka sangat gembira melihat anak mereka semula.
“Ada perayaan, tarian, nyanyian. Ia seperti perkahwinan sebenar,” kata Qasem.
Menurutnya, Hamid dan keluarganya sangat sedih kehilangan Sohail.
“Hamid dan isterinya menangis. Saya juga menangis, tetapi meyakinkan bahawa mereka berdua masih muda, Allah akan memberikan mereka anak lelaki. Bukan seorang, tetapi beberapa orang.
“Saya berterima kasih kepada mereka berdua kerana menyelamatkan kanak-kanak itu dari lapangan terbang,” kata Qasem. – Agensi