
Orang ramai keluar dari sebuah restoran selepas gegaran dirasai di Lahore, Pakistan, pada 21 Mac 2023.
Gempa bumi kuat berlarutan sekurang-kurangnya 30 saat dirasai di sebahagian besar Afghanistan, Pakistan dan beberapa bahagian India lewat malam tadi, dengan Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengatakan ia berukuran 6.5 magnitud.
“Ia adalah satu gegaran yang menakutkan. Saya tidak pernah merasakan gegaran seperti itu sebelum ini dalam hidup saya,” Khatera, 50, seorang penduduk Kabul, memberitahu AFP selepas bergegas keluar dari apartmennya di tingkat lima di ibu negara.
USGS berkata gempa itu berpusat berhampiran Jurm di timur laut Afghanistan dan mempunyai kedalaman 187 kilometer.
Wilayah ini sering dilanda gempa bumi – terutamanya di banjaran gunung Hindu Kush, yang terletak berhampiran persimpangan plat tektonik Eurasia dan India.
Dua orang, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh di wilayah Laghman, kata jurucakap Kementerian Pengurusan Bencana Alam Afghanistan, Shafiullah Rahimi kepada AFP.
Jurucakap kerajaan Zabihullah Mujahid berkata pusat kesihatan di seluruh negara telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Noor Mohammad Hanifi, seorang peniaga di Kabul, memasang khemah di jalan untuk keluarganya bermalam.
“Tiada sesiapa yang berani masuk ke dalam rumah mereka,” katanya.
Hanafi berkata, dia berasa pening apabila gempa itu berlaku memandangkan dia baru pulang dari perjalanan jauh.
“Tetapi apabila saya mendengar pintu dan tingkap bergegar, saya menyedari ia adalah gempa bumi.”
Di tempat lain, agensi berita ANI India melaporkan bahawa gegaran turut dirasai di New Delhi.
Pelbagai laporan mengenai bangunan condong telah diterima oleh Perkhidmatan Bomba Delhi dan pasukan tiba di lokasi untuk menyiasat, kata pegawai kepada IANS.
Menurut Pengarah Perkhidmatan Bomba Delhi (DFS) Atul Garg, panggilan mengenai bangunan condong telah diterima di kawasan Shakarpur di Vikas Marg di timur Delhi.
Di Pakistan, orang ramai yang ketakutan meninggalkan rumah mereka ketika gegaran melanda.
“Orang ramai berlari keluar dari rumah mereka dan sedang membaca al-Quran,” kata seorang wartawan AFP di bandar Rawalpindi, Pakistan.
Ikhlaq Kazmi, seorang bekas profesor di bandar itu, berkata seluruh rumahnya mula bergegar.
“Kanak-kanak mula menjerit bahawa ada gempa bumi,” katanya.
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif mengarahkan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara bersedia untuk menangani sebarang kecemasan.
Sekurang-kurangnya 180 orang yang mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke hospital di seluruh wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa Pakistan, kata seorang pegawai kanan kerajaan, Shahidullah Khan.