Dua negara berjiran – Itali dan Perancis – masing-masing mencatat jangkitan harian melebihi 200,000 kes baharu pada Khamis, tatkala varian Omicron Covid-19 menular dengan pantas, sejak beberapa hari kebelakangan.
Di Itali, Kementerian Kesihatannya memaklumkan jangkitan baharu Covid-19 meningkat kepada 219,441 kes pada Khamis, berbanding 189,109 kes pada Rabu, sementara kematian turun kepada 198 kes berbanding 231 kes sehari sebelumnya.
Sejak pandemik tercetus di negara itu pada Februari 2020, Itali merekodkan 138,474 kematian, dan lebih 6.97 juga kumulatif kes positif.
Dalam tempoh 24 jam lalu, seramai 177 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) menjadikan keseluruhan yang sedang dirawat di unit itu seramai 1,467 pesakit.
Sehingga Khamis, seramai 13,827 pesakit Covid-19 sedang menerima rawatan di hospital, meningkat daripada 13,364 kes sehari sebelumnya.
Sementara itu, Perancis pula melaporkan 261,481 jangkitan baharu Covid-19 pada Khamis, turun daripada rekod lebih 332,000 yang dicatat pada Rabu, tetapi purata pergerakan tujuh hari kes baharu meningkat melebihi 200,000 buat kali pertama sejak permulaan pandemik itu.
Purata pergerakan tujuh hari telah memuncak kepada lebih 54,000 pada November 2020. Dengan penularan pantas varian Omicron baru-baru ini, rekod itu dipecahkan sebelum Krismas, apabila purata meningkat kepada lebih 100,000 pada hari-hari terakhir Disember .
Pesakit yang menerima rawatan di ICU pula meningkat kepada 3,759 individu, namun ianya masih rendah berbanding lebih 6,000 kes pada 2021 dan 7,000 pada 2020.
Kementerian Kesihatan Perancis juga melaporkan 204 kes kematian berkaitan Covid-19 pada Khamis, menjadikan kumulatif lebih 125,000 kes. – Agensi