Sekurang-kurangnya 27 orang dikhuatiri terbunuh susulan kebakaran di sebuah klinik psikiatri di bandar Osaka, Jepun hari ini, sambil media melaporkan polis sedang menyiasat suspek pembakaran.
Seramai 27 orang telah ‘ditahan’ di wad kardiopulmonari, seorang pegawai di jabatan bomba bandar Osaka memberitahu Reuters, istilah yang digunakan di Jepun, sebelum kematian disahkan secara rasmi.
Seorang lagi cedera, kata pegawai itu. Sembilan orang disahkan meninggal dunia di hospital, lapor TV Asahi.
Polis sedang menyiasat suspek, termasuk laporan bahawa seorang lelaki melakukan khianat dengan membakar bangunan itu
Seorang lelaki warga emas membawa masuk beg bocor mengandungi cecair mudah terbakar sebelum menyalakannya, lapor akhbar Yomiuri.
Dia dipercayai pesakit di klinik itu, kata akhbar Mainichi.
Kebakaran berlaku sejurus selepas klinik dibuka pada jam 10 pagi (9 pagi waktu Malaysia) dan sebahagian besarnya dapat dipadamkan dalam masa 30 minit, lapor NHK.
Video dari NHK menunjukkan asap keluar dari tingkap tingkat empat yang menempatkan klinik itu.
Terletak di daerah membeli-belah dan hiburan tidak jauh dari stesen kereta api utama Osaka, bangunan itu juga menempatkan salon kecantikan, kedai pakaian dan sekolah bahasa Inggeris, kata NHK.
Laman sesawang klinik itu tidak boleh diakses tetapi arkib internet dari awal tahun ini menunjukkan ia merawat pesakit yang menghadapi masalah kemurungan dan panik, serta masalah fizikal seperti apnea dan anemia. – Agensi