Perbualan mesra antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan lah satu perbuatan jenayah, ia hanya perbincangan strategi politik antara kedua-dua pemimpin yang sememangnya diketahui mempunyai sejarah rakan baik semasa dalam UMNO dahulu.
Jadi apakah masalahnya jika ia menjadi tular, ketakutan Anwar sebenarnya adalah jika diketahui umum siapa dalang dalam menyebarkan klip audio tersebut.
Ketua Penerangan Bersatu selangor, Mohd Hamidi Abu Bakar tidak menolak kemungkinan Anwar sendiri menyebarkan klip audio tersebut kerana desakan untuk membuktikan dirinya masih relevan dalam blok pembangkang.
“Tidak mustahil jika Anwar sendiri yang rekod guna telefonnya semasa menghubungi Zahid dan kemudiaan disebarkan… selepas tular beliau menuduh Bersatu dan parti lawan yang menyebarkannya.
“Itu lah Anwar punya perangai daripada dahulu sampai sekarang tidak berubah-ubah,” katanya kepada Agenda Daily.
Mohd Hamidi juga menafikan Bersatu terlibat dalam penyebaran klip audio tersebut, bahkan Ketua Penerangan Bersatu Pusat Datuk Wan Saiful Wan Jan juga membidas Anwar berhubung dakwaannya mengatakan Bersatu dalang klip tersebut.
“Bersatu sudah nafikan dan kami sedia buat laporan polis bagi mencari dalang penyebarannya… tapi Anwar sampai sekarang tidak buat laporan polis, macam-macam alasan dia berikan,” katanya.
Dalam tempoh seminggu video tersebut tular, Zahid yang paling banyak menjadi bahan kecaman berbanding Anwar dan lebih pelik apabila beliau masih diangkat sebagai calon perdana menteri blok pembangkang.
Tidak susah membaca strategi politik Anwar, klip audio tular tapi yang mendapat laba politik adalah dirinya sendiri dan Zahid kini dianggap sebagai liabiliti dalam UMNO yang perlu disingkirkan.
Anwar juga masih belum membuat sebarang laporan polis, setakat ini beliau memberikan alasan retorik politik kononnya ia dijadikan modal politik pihak tertentu.
Seolah-olah Anwar juga sekarang menjadi wakil jurucakap kepada Zahid dalam berdepan kritikan berhubung klip audio tersebut, mungkin sebab itu beliau dianggap sebagai ‘cikgu’ oleh Zahid sendiri.
Kemelut dalaman UMNO yang sememangnya meruncing selepas Perhimpunan Agung UMNO lalu bertambah menjadi barah selepas tular klip tersebut, bertalu-talu gesaan supaya Zahid meletak jawatan muncul selepas itu.
Zahid dianggap sebagai musuh sebenar ahli UMNO bukan lagi Bersatu seperti yang cuba digambarkan dalam ucapan berapi-apinya semasa perhimpunan lalu.
Dalam keadaan sebegini tidak mustahil jika wujud kebarangkalian kemungkinan Anwar sendiri menyebarkan klip audio tersebut.
Kenapa? Anwar sebelum ini dua kali memanggil sidang media untuk mengumumkan jumlah majoriti yang dimilikinya untuk dipersembahkan kepada Istana Negara, bagaimanapun ia sekadar menjadi angan-angan dan mimpi apabila gagal.
Ramai pihak mengkritik dan mengecam Anwar selepas itu, tidak kurang juga mereka yang mentertawakan Anwar sehingga menjadi bahan jenaka dalam media sosial.
Kepercayaan di sebelah blok pembangkang juga semakin terhakis, bagaimanapun selepas tular klip audio tersebut beliau seakan mendapat kepercayaan semula daripada DAP dan Amanah sehingga diumumkan calon perdana menteri yang akan dilantik sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum nanti.
Secara tidak langsung, klip audio tersebut berjaya membuktikan bahawa Anwar sememangnya memiliki sokongan Presiden UMNO tersebut dan kerjasama yang dicanang-canang bukan sekadar cakap kosong.
Tapi Anwar terlupa, tidak semua sepakat dengan Zahid dan tidak semestinya langkah Zahid untuk membawa parti itu bersama dengan blok pembangkang tidak mendapat tentangan.
Begitu lah silap Anwar, anggapan semua dalam UMNO akan mengikut arahan membuta-tuli Presiden UMNO adalah tidak menjadi kenyataan.
Yang menjadi kenyataan sekarang adalah Zahid sedang diserang setiap penjuru dan Anwar pula diangkat menjadi calon perdana menteri.
UMNO boleh pilih sekarang, mahu Anwar menjadi perdana menteri atau pun kekal bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-15 sebagai sahabat atau lawan.