Susulan keputusan Kabinet memberi kebenaran nama arak jenama Timah dikekalkan, PAS bertegas dengan pendirian menolak keras langkah tersebut.
Pendirian itu dinyatakan Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad yang berkata parti itu akan menolak dan menentang sebarang keputusan yang dilihat tidak selari dengan ajaran Islam khususnya melibatkan perkara yang diharamkan mengikut syariat agama.
“Dalam hal ini, pendirian PAS mengenai arak adalah jelas. Kita tidak setuju dari awal atas apa nama pun, tidak kira Timah, Dollah atau Wahab.
“Malah, tiada juga dalam kalangan pimpinan parti yang menyokong isu arak Timah ini. Pendirian kita jelas, sedangkan pesta arak pun kita lawan,” katanya dipetik laporan Utusan Online.
Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terdahulu menghadiri Majlis Penyerahan Program Inspirasiku MyHaus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Perak di Kampung Seri Aman, Menglembu hari ini.
Terdahulu semalam, media melaporkan keputusan kerajaan membenarkan syarikat pengeluar arak, Winepak Corporation (M) Sdn. Bhd. terus menggunakan jenama Timah di pasaran.
Bagaimanapun, syarikat itu dikehendaki memasukkan label tambahan pada botol wiski bagi menjelaskan bahawa nama itu sebenarnya merujuk kepada bijih timah seperti yang diusulkan oleh mereka.
Isu jenama arak tersebut menjadi kontroversi berikutan namanya dilihat berkait dengan nama orang Melayu dan Islam, iaitu ‘Fatimah’ selain imej lelaki yang dipaparkan di atas botol arak seperti menggambarkan seorang lelaki Islam kerana berjanggut dan memakai kopiah.
Bagaimanapun syarikat pengeluar menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa nama Timah itu merujuk kepada bijih timah dan lelaki yang dipaparkan pula adalah Kapten Tristram Speedy, seorang penjelajah British abad ke-19.