Facebook Inc menjenamakan semula syarikat itu sebagai ‘Meta’ – perubahan nama yang mencerminkan cita-cita firma gergasi media sosial itu dalam melangkaui visinya mencapai metaverse, istilah sci-fi klasik digunakan Facebook untuk bekerja dalam dunia maya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg ketika sidang realiti maya syarikat itu, berkata nama baharu berkenaan mencerminkan tumpuan syarikat itu untuk membina metaverse.
“Pada masa ini, jenama kami sangat berkait rapat dengan satu produk sehingga tidak mungkin mewakili semua yang kami lakukan hari ini, apatah lagi pada masa hadapan,” katanya.
Perubahan itu akan menghimpunkan aplikasi dan teknologinya yang berbeza di bawah satu jenama baharu, tetapi ia tidak akan mengubah struktur korporatnya.
“Hari ini kami dilihat sebagai syarikat media sosial, tetapi dalam DNA kami, kami adalah syarikat yang membina teknologi untuk menghubungkan orang ramai, dan metaverse adalah sempadan seterusnya sama seperti rangkaian sosial ketika kami bermula,” kata Zuckerberg.
Metaverse, istilah yang pertama kali dicipta dalam novel dystopian tiga dekad yang lalu dan kini menarik perhatian ramai di Silicon Valley, merujuk secara meluas kepada idea persekitaran maya yang dikongsi dan boleh diakses oleh mereka yang menggunakan peranti berbeza.
Facebook Inc juga menukar logo di ibu pejabatnya di Menlo Park, California, pada Khamis, menggantikan logo ibu jari – “Like” – dengan bentuk infiniti biru.
Harapan kami ialah dalam dekad yang akan datang, metaverse akan mencapai satu bilion individu, menjadi pemimpin kepada ratusan bilion dolar perdagangan digital dan menyokong jutaan pekerjaan buat pencipta dan pembangun teknologi.