Sepuluh kedutaan asing di Turki mengumumkan mereka mematuhi Perkara 41 Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik, yang menetapkan setiap utusan untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara di mana mereka berkhidmat.
Pengumuman itu dibuat kedutaan Amerika Syarikat, Kanada, Finland, Sweden, Denmark, Norway, New Zealand, Belanda, Jerman dan Perancis dibuat setelah minggu lalu mereka mendesak pembebasan seorang ahli perniagaan Turki, Osman Kavala.
Susulan desakan itu, Presiden Recep Tayyip Erdogan bertindak balas dengan mengarahkan Kementerian Luar Turki mengisytiharkan 10 duta negara terbabit sebagai ‘persona non grata’.
Persona non grata adalah istilah dalam bahasa Latin bermaksud orang yang tidak diingini, dan ia adalah satu amalan diplomasi membabitkan hubungan diplomatik antara negara.
Mengikut Artikel 9 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961, sesebuah negara yang menerima kedatangan seorang diplomat asing boleh pada bila-bila masa tanpa menyatakan apa-apa sebab, mengisytiharkan seorang diplomat asing itu sebagai persona non grata.
Akibat perisytiharan itu, diplomat asing berkenaan tidak boleh tinggal di negara ini dan hendaklah dibawa balik oleh kerajaannya ke negara asal.
Erdogan dilaporkan menerima baik pengumuman terbaharu semua kedutaan negara Barat bahawa mereka akan mematuhi konvensyen diplomatik untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalam Turki, kata sumber Istana Presiden. Berita berkaitan
Dalam kenyataan bersama pada 18 Oktober lalu, 10 duta itu mendesak perbicaraan Kavala dipercepatkan dan dibebaskan dengan segera menyebabkan mereka oleh Kementerian Luar Turki yang menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab.
Kavala kini ditahan di penjara dan berdepan gtuduhan terbabit dengan tunjuk perasaan di Dataran Gezi pada 2013 yang akhirnya mencetuskan demonstrasi besar-besaran menyebabkan lapan terbunuh, termasuk pegawai polis. Dia dibebaskan daripada tuduhan pada 2020, tetapi dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Januari lalu.
Ahli perniagaan yang dikatakan menyalurkan dana kepada penunjuk perasaan itu juga dituduh terbabit dalam rampasan kuasa yang gagal pada 2016 lalu oleh Pertubuhan Pengganas Fetullah (FETO). – Agensi