Nelayan Sumatera dilapor menemui harta karun bernilai ratusan juta ringgit, sekali gus membuktikan sebuah pulau di Palembang memiliki sisa-sisa peradaban yang hilang sejak 700 tahun lalu.
Sebelum ini, Pulau Emas di Palembang hanya dikenali menerusi mitos dan cerita rakyat, namun sekumpulan nelayan di Sungai Musi menggemparkan Indonesia apabila membuat penemuan batu permata, cincin emas istiadat dan loceng gangsa.
Penemuan harta karun berupa artifak itu sebahagiannya dipercayai milik kerajaan Srivijaya yang berkuasa di wilayah itu antara abad ke-7 dan 13, lapor Daily Mail yang memetik pendedahan ahli arkeologi Dr Sean Kingsley di dalam majalah Wreckwatch.
Akhbar berpangkalan di London itu melaporkan antara artifak yang dijumpai dan menggemparkan di kawasan itu adalah patung Buddha bersaiz besar dan bertatahkan batu permata dari abad kelapan bernilai ratusan juta ringgit.
Dr Kingsley menyifatkan penemuan itu sebagai satu perkara yang amat menakjubkan.
“Penyelidik melakukan kajian zaman Srivijaya hingga ke Thailand dan India, tetapi semuanya mengecewakan.
“Malah, di Palembang, penyelidik arkeologi juga gagal menjumpai serpihan tembikar yang mencukupi untuk dibanggakan walaupun ke pelosok tempat sudah diterokai meskipun ke sebuah kampung kecil.
“Srivijaya merupakan kerajaan terakhir yang lenyap di bumi, di mana kehilangannya menjadi rahsia sehingga kini,” katanya.
Pada zaman dahulu, Sumatera dikenali sebagai Pulau Emas kerana ianya kaya dengan sumber asli dan emas serta merupakan tempat terawal ketibaan para pendagang di Asia Tenggara.
“Selain penemuan emas dan permata yang menakjubkan, dasar sungai itu juga menyimpan banyak duit syiling China dan seramik yang tenggelam.
Dalam majalah itu Dr kingsley menulis “dari dasarnya telah muncul emas berkilauan dan permata yang sesuai dengan kerajaan terkaya ini – segala-galanya dari alat perdagangan dan senjata perang hingga peninggalan agama”.
Beliau juga percaya ketika peradaban Srivijaya berakhir pada abad ke-14, rumah, istana dan kuil mereka tenggelam bersama dengan semua barang mereka. – Daily Mail