Kemelut politik yang tercetus di Melaka menyebabkan rakyat marah melihat orang politik berebut kuasa pada ketika krisis kesihatan Covid-19 semakin hampir pulih, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mantan Perdana Menteri itu berkata krisis yang tercetus kali ini di Melaka berpunca daripada tindakan beberapa individu yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kerajaan negeri jatuh dan ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan penularan Covid-19 semakin hampir dapat ditangani.
“saya lihat situasi-situasi politik Melaka ini pilihan raya diadakan kerana tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan jatuhnya kerajaan di sini.
“Saya bukan orang Melaka tapi ramai saudara kat Melaka ni. Mereka agak marah, ia tidak sewajarnya berlaku kerana pandemik Covid yang baru nak mula selesai,” katanya semasa sidang media di Melaka hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menyifatkan pergelutan kemelut politik di Melaka tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat baharu sahaja hendak hidup normal selepas terlalu lama berdepan dengan ancaman Covid-19 namun ia sudah terlewat apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan.
“Sewajarnya bagilah masa jangan kita sibuk orang kata memikirkan soal kuasa hingga menjejaskan kehidupan rakyat.
“Tapi apa yang telah berlaku telah pun berlaku jadi realiti dalam sistem demokrasi berparlimen bila dah ada begitu pilihan raya kena adakan. Saya fikir saya tahu sentimen orang Melaka keseluruhannya, jadi saya fikir kita akan ambil satu pendirian yang jelas nanti,” katanya lagi.
Berhubung pertembungan tiga penjuru dalam PRN nanti, Muhyiddin berkata rakyat Melaka mempunyai pilihan untuk memilih parti yang dilihat dapat membela nasib mereka dan bukan hanya tahu berebut kuasa demi masa depan negeri tersebut.
“Pengundi yang akan putuskan. Siapa yang mereka mahu? Kalau mereka dah sukakan saya dan Perikatan Nasional mereka pilih kita.
“Kalau suka yang sana, pilih sana. Jadi rakyat mempunyai banyak pilihan untuk menentukan masa depan negeri yang penting ini,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan hari penamaan calon pada 8 November serta tarikh mengundi awal pada 16 November dengan tempoh berkempen selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November.