Perdana Menteri Boris Johnson dicemuh hebat oleh pelbagai pihak termasuk media United Kingdom (UK) selepas pergi melancong bersama keluarganya di Sepanyol ketika rakyat Britain berdepan beberapa isu besar.
Johnson dan isterinya, Carrie serta anak lelakinya, Wilf bertolak ke Marbella pada Jumaat lalu, selepas menghadiri Persidangan Parti Konservatif di Manchester.
Dimaklumkan, Johnson dan keluarganya akan bercuti di sebuah vila mewah di Costa Del Sol hingga Khamis ini.
Ketika ini, rakyat Britain berdepan dengan pelbagai masalah besar apabila jutaan penduduknya berdepan dengan isu seperti kenaikan bil elektrik, kekurangan bekalan makanan serta bahan bakar dan semua isu itu timbul selepas penamatan bantuan Universal Credit.
“Tiada masalah jika Perdana Menteri mahu bercuti sebentar, namun masa bercuti itu tidak sesuai bagi menunjukkan betapa dekatnya beliau dengan rakyat Britain ketika menghadapi kesukaran,” kata seorang sumber dari Westminster.
Manakala, Menteri Perniagaan, Kwasi Kwarteng menyifatkan tindakan Perdana Menteri itu adalah wajar kerana pemimpinnya itu sudah melalui waktu sukar sejak setahun lalu akibat Covid-19.
“Saya sering berhubung dengan beliau, dimana beliau juga sedang melalui waktu sukar sejak setahun lalu apabila Johnson juga dimasukkan ke hospital kerana jangkitan Covid-19 dan kehilangan ibu tercinta dua minggu lalu.
“Jadi, mungkin beliau mengambil keputusan untuk berehat sebentar, saya yakin itu sesuatu yang sepatutnya,” jelasnya kepada Times Radio.