Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah mengarahkan kakitangan kementeriannya membuat laporan polis berhubung ciapan seorang lelaki yang dianggap menyebar berita palsu tentang vaksin Covid-19.
Khairy yang menulis perkara itu di Twitternya berkata, ada masa boleh diluangkan untuk mendidik dan libat urus orang ramai tentang vaksin dan ada waktu juga undang-undang perlu dikuatkuasakan.
“Ada masa untuk mendidik dan libat urus (engage). Tetapi ada masa juga untuk menguatkuasakan undang-undang. Saya telah minta laporan di buat terhadap @khalids kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) atas penyebaran berita palsu berkenaan vaksinasi Covid-19.
“Cukup-cukuplah dengan penipuan,” ciap Khairy di Twitternya petang semalam.
Akaun Twitter milik @khalids bagaimanapun tidak dapat diakses dan dipercayai telah dinyah aktif.
Sebelum ini, pemilik akaun berkenaan didakwa menyebarkan senarai di media sosial dan mendakwa seorang guru meninggal dunia kerana kesan sampingan daripada vaksin Covid-19.
Bagaimanapun, anak perempuan kepada guru berkenaan yang menggunakan nama @IntanFaziera5 tampil dan membidas kenyataan lelaki itu dan menafikan dakwaan tersebut.
“Data ini salah. Arwah ayah saya meninggal dunia bukan disebabkan vaksin.
“Data itu hanya diambil dari media sosial, tanpa sebarang pertanyaan atau mendapatkan izin daripada keluarga kami,” ciap anak perempuan guru berkenaan.