Susulan pendedahan perabot yang dipindahkan dari kompleks Seri Perdana selepas diarahkan bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak, kini tular pula gambar beberapa peti besi yang dipindahkan dari kediaman tersebut.
Bekas PM itu mengaku perabot itu dipindahkan dan disimpan dalam sebuah gudang, ia bagaimanapun tidak pasti sama ada peti besi yang dipindahkan itu juga turut disimpan dalam gudang yang sama itu.
Beberapa keping gambar tular menunjukkan peti besi besar dikeluarkan dari kompleks tersebut yang dipercayai dipindahkan selepas kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Kren juga terpaksa digunakan bagi membawa keluar peti besi tersebut keluar dari Seri Perdana kerana terlalu berat untuk diangkat.
Semalam, Najib mengakui membawa perabot keluar dari kompleks Seri Perdana dan masih disimpan di gudang dan sedia memulangkan perabot tersebut kepada kerajaan secara percuma kerana tidak digunakan langsung memandangkan masih berpuas hati dengan apa yang sudah ada di rumahnya.
“Ia tak digunakan langsung. Jika kerajaan ada niat, saya setuju untuk berikan secara percuma kepada kerajaan.
“Hanya perlu berhubung dengan pegawai saya dan datang ke warehouse untuk pilih,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Isu kompleks Seri Perdana menjadi kontroversi selepas kerja baik pulih yang dijalankan terpaksa menelan belanja yang tinggi selepas Najib keluar daripada kediaman tersebut.
Najib merupakan individu terakhir yang menghuni Seri Perdana sebelum berpindah keluar selepas kekalahan kerajaan BN yang menyaksikan beliau tersingkir sebagai PM Keenam.
Menerusi gambar-gambar yang tular dalam media sosial, kerosakan dialami di Seri Perdana melibatkan struktur dalam dan luaran bangunan tersebut.
Untuk rekod, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjawat jawatan PM tidak mendiami kompleks tersebut, malah Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi PM Ketujuh juga tidak menetap disitu.
Kompleks tersebut dibina pada 1997 dan siap pada 1999, di atas tapak seluas 42.5 ekar mengikut kontur anak bukit dengan mengekalkan struktur geografi alam semula jadi selaras dengan konsep perancangan Putrajaya sebagai sebuah Bandaraya Taman.
Kos pembinaannya juga mencecah puluhan juta ketika itu, malah kompleks sebesar itu juga pastinya memerlukan penyelenggaraan dan penjagaan yang menelan belanja tinggi. Jurutera pembinaan pasti tahu kos dan belanja yang diperlukan untuk memastikan bangunan sebesar itu dapat bertahan lama.
Dalam satu kertas makluman berhubung justifikasi Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung isu kos ubah suai di Seri Perdana, antara perkara yang dibangkitkan berhubung perolehan perabot yang terpaksa dijalankan susulan permintaan mantan PM, Najib.
“Kompleks Seri Perdana dinaik taraf berdasarkan status fizikal kompleks tersebut yang memerlukan pengubahsuaian hiasan dalaman, pembaikan teknikal serta perolehan perabot/aset yang mana pada ketika ini sebahagian besar perabot/aset sedia ada di Kompleks Seri Perdana sedang dipindah keluar atas permintaan mantan Perdana Menteri keenam,” kata laporan tersebut yang dilihat Agenda Daily.
Untuk rekod, kertas laporan tersebut tular juga dalam media sosial.