YouTube akan menghapuskan kandungan yang menyebarkan maklumat salah berkaitan semua vaksin yang diluluskan, sekali gus memperluas larangan dakwaan palsu mengenai suntikan vaksin Covid-19.
Klip video yang mendakwa vaksin diluluskan adalah berbahaya dan menyebabkan menyebabkan autisme, barah atau kemandulan, adalah antara yang akan dibuang, kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.
Polisi ini merangkumi penamatan akaun individu antivaksin, kata platform perkongsian video dalam talian dan media sosial Amerika Syarikat (AS) yang dimiliki Google itu.
Sebelum ini, YouTube dikritik kerana tidak mengambil banyak langkah untuk mengatasi maklumat kesihatan palsu di laman web mereka.
Pada Julai lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata sebahagian platform media sosial bertanggungjawab ke atas keraguan orang ramai untuk mendapatkan vaksin dengan menyebarkan maklumat salah, dan meminta mereka untuk menangani masalah ini.
YouTube berkata 130,000 klip video telah dibuang daripada platformnya sejak tahun lalu, ketika syarikat itu melaksanakan larangan terhadap kandungan yang menyebarkan maklumat salah berkaitan vaksin Covid-19.
Dalam catatan blognya, syarikat itu mengatakan telah melihat dakwaan palsu mengenai suntikan Covid-19 yang ‘menyebarkan maklumat salah mengenai vaksin secara umum’. Dasar baru ini merangkumi vaksin yang telah lama diluluskan, seperti vaksin campak atau hepatitis B.
“Kami memperluas polisi maklumat salah perubatan di YouTube dengan garis panduan baru mengenai vaksin yang sedang diberikan, diluluskan dan disahkan selamat serta berkesan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
“Testimoni peribadi yang berkaitan dengan vaksin, kandungan mengenai dasar vaksin, percubaan vaksin baharu, dan video sejarah kejayaan atau kegagalan vaksin akan dibenarkan untuk terus berada di laman web ini,” kata syarikat itu.
Langkah itu menyusul larangan serupa dilaksanakan oleh Facebook pada Februari lalu, yang menyasarkan tuntutan palsu mendakwa vaksin tidak berkesan atau menyebabkan autisme. Namun, sejak itu Facebook berdepan cabaran untuk menguatkuasakannya.
Pada Mac lalu, Twitter mengumumkan bahawa pengguna yang berulang kali menyampaikan maklumat salah mengenai vaksin akan disingkir dan diharamkan daripada platform itu. – Agensi