Krisis pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia telah menjadikan transformasi digital ‘mengambil tempat’ lebih cepat daripada apa yang dijangkakan termasuklah urusniaga secara e-dagang di Malaysia.
Analisis oleh GlobalData, sebuah syarikat konsultan yang berpangkalan di United Kingdom pada September tahun lepas menyatakan pasaran e-dagang Malaysia dianggarkan mencatat pertumbuhan 24.7 peratus pada 2020 dan nilai pasarannya dijangka mencapai RM51.6 bilion menjelang 2024.
Dengan pembelian secara dalam talian menjadi trend baharu, ia pastinya menjadi petanda positif kepada perkembangan ekonomi negara dan membantu memudahkan urusan jual beli meskipun dalam keadaan yang terhad dan tidak boleh bersemuka disebabkan pandemik.
Namun, penggunaan digital seperti media sosial yang lebih tinggi ketika pelaksanaan bekerja dari rumah dilihat menjadi antara punca berlakunya peningkatan kes jenayah siber di Malaysia sejak kebelakangan ini.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil menyifatkan tahap kemajuan jenayah siber kini memasuki fasa ‘jenayah siber pintar’ di mana sindiket menggunakan data pengguna untuk memanipulasi mangsa.
Beliau berkata, ramai mangsa jenayah siber khususnya dalam platform e-dagang mudah dimanipulasi bukan kerana mereka tidak mempunyai kesedaran sebaliknya penjenayah sudah berevolusi ke satu tahap berbeza.
Data Hootsuite pada Januari tahun ini menunjukkan pengguna siber di Malaysia adalah antara pengguna tertinggi platform e-dagang di dunia dengan kedudukan keempat dari sudut kadar penembusan dan ketujuh dari aspek penggunaan perbankan digital.
“Justeru, pengguna perlu sentiasa peka dengan sebarang urusan dalam e-dagang antaranya dengan memberi perhatian terhadap ketulenan profil sesebuah iklan, maklumat perniagaan yang berdaftar, akaun bank penerima yang wajib selari dengan nama profil iklan e-dagang, menyemak maklumat akaun atau nombor telefon di aplikasi Semak Mule PDRM serta merujuk kepada orang sekeliling sebelum membuat pembelian secara dalam talian.
“Mereka yang menjadi mangsa jenayah siber perlu segera membuat laporan polis dan menyertakan maklumat perbankan, nombor telefon dan lain-lain, menukar kata laluan akaun perbankan digital dan email, melaporkan kepada pihak jabatan perlindungan data peribadi atau MCMC sekiranya maklumat peribadi disalah guna oleh pihak ketiga.
“Tindakan membuat makluman rasmi di media sosial peribadi juga dapat membantu sebagai memberi peringatan kepada rakan-rakan lain agar tidak menjadi mangsa jenayah siber seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, susulan keadaan itu sekali gus menjadikan rakyat di negara ini sasaran penjenayah tersebut.
Menurut beliau, pelbagai kes penipuan dalam Internet seperti Macau Scam, Love Scam, pinjaman tidak wujud (ahlong) dan penipuan SMS telah menelan kerugian hampir ratusan juta ringgit.
“Tatkala negara dilanda wabak Covid-19 dan kebanyakan daripada mangsa bekerja di rumah, penipuan sebegini semakin licik berlaku.
“Tidak hairanlah hari demi hari media semakin kerap melaporkan mengenai kes tentang ramai rakyat yang ditipu oleh pelbagai penjenayah siber.
“Walau pun pada keseluruhannya kes jenayah dilihat semakin turun, tetapi sebaliknya kes jenayah indeks siber semakin membimbangkan saban hari,” katanya.
Lam Thye menegaskan, sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa memperketatkan undang-undang siber dengan mengenakan hukuman yang lebih tegas terhadap penjenayah yang didapati terlibat dalam sindiket ini.
“Pelbagai cara telah diikhtiarkan oleh pihak berkuasa bagi menentukan langkah yang paling efektif untuk memerangi penjenayah siber ini.
“Bagaimanapun, untuk mengambil tindakan yang benar-benar wajar, kerjasama daripada orang awam khasnya sangat-sangat diperlukan untuk memerangkap penjenayah siber yang licik ini,” katanya.
Masyarakat ujar beliau, juga diingatkan agar lebih berhati-hati ketika ingin menjawab panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.
“Sekiranya mendapat panggilan daripada nombor asing dan kemudian mereka memperkenalkan diri daripada agensi-agensi utama negara seperti mahkamah, balai polis mahupun bank negara, segera matikan perbualan dan terus membuat laporan kepada balai polis berdekatan,” katanya.