
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diperintah membayar RM120,000 kepada bekas Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan KiniTV.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Rayuan berkaitan saman fitnah sebelum ini yang dikemukakan oleh bekas pemimpin UMNO itu terhadap Khalid dan KiniTV serta New Straits Times Press (NSTP).
Sebelum ini Mahkamah Tinggi pada 22 Feb tahun lepas menolak saman tersebut.
Mahkamah Rayuan berkata RM120,000 itu kos bagi prosidingnya hari ini, di Mahkamah Tinggi, dan permohonan kebenaran.
“Kami merasakan adalah adil dan munasabah untuk ketepikan keputusan Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Datuk S Nantha Balan, yang bersidang bersama Datuk Nazlan Ghazali dan Datuk Choo Kah Sing.
Mahkamah kemudian memerintahkan Tajuddin membayar RM60,000 kepada setiap perayu.
Tuntutan itu dikaitkan dengan beberapa siri sidang akhbar mengenai insiden 2016 di mana Tajuddin didakwa merujuk kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di Parlimen sebagai satu-satunya wanita yang mempunyai “Kok”, dan Khalid dikatakan bertindak balas dengan memanggilnya “sial”.
Pada 22 Feb 2017, Tajuddin, timbalan menteri pertanian dan asas tani ketika itu, memfailkan saman terhadap Khalid berhubung sidang media di luar Dewan Rakyat sejurus selepas insiden itu.
Tajuddin juga menyaman KiniTV Sdn Bhd – anak syarikat Malaysiakini – dan The New Straits Times Press (M) Bhd berhubung liputan mereka terhadap sidang media Khalid.
Dalam menolak saman fitnah itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar (yang sejak itu dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Tinggi) tidak membuat sebarang perintah mengenai kos, dengan alasan ia adalah kerana kes itu adalah untuk kepentingan awam.
Tajuddin didakwa membuat kenyataan itu pada 2016.