Rombakan Kabinet, bagaimana jika PMX ganti Rafizi dengan Khairy?

June 17, 2023 · Politik

Bekas ketua pemuda UMNO dibuang parti, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipanggil bersama-sama Naib Presiden, Datuk Seri Johari Ghani bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Pertemuan Khairy yang dibuang parti oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Anwar dikatakan membincangkan hala tuju ekonomi negara tetapi tanpa ada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hadir bersama.

Pertemuan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi memandangkan sebelum ini terdapat spekulasi rombakan Kabinet bakal dilakukan Anwar kerana prestasi beberapa Menteri yang dilihat tidak baik dan gagal berperanan menangani isu kebajikan rakyat.

Selain itu, Zahid juga ketika ini dalam usaha memujuk bekas ahli dan pemimpin yang disingkirkan daripada parti sebelum ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak dalam lama lagi.

Semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang berlangsung baru-baru ini, Zahid juga secara terbuka menyatakan kesediaan menimbangkan permohonan bekas ahli yang digantung dan dibuang untuk diterima kembali bersama parti itu.

Tanpa kehadiran Rafizi dalam pertemuan dengan Khairy dan Johari bersama ahli ekonomi serta pakar industri yang dikongsi oleh Anwar dalam akaun media sosialnya menguatkan lagi tidak mustahil bakal berlaku penstrukturan jemaah menteri kerajaan campuran.

Susulan pertemuan Khairy dengan Anwar itu juga, orang ramai dan pemerhati politik bebas memberi pandangan secara umum sekiranya tempat Rafizi digantikan dengan Khairy.

Malah, Khairy dilihat lebih berpengalaman dan mempunyai cara pengendalian komunikasi yang nampak lebih berkesan berbanding Rafizi yang baharu sahaja menteri buat kali pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Rafizi juga sering menjadi bahan kecaman dan sindiran orang ramai kerana dianggap sebagai seorang yang ‘Raja Formula’ semasa berkempen dalam PRU lalu tetapi gagal mengimplementasi apabila sudah menjadi menteri dalam kerajaan sekarang.

Malah, isu kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup yang sebelum ini sering dibangkitkan Rafizi dalam ceramahnya gagal ditangani dengan baik.

Berbanding dengan Rafizi, imej Khairy dilihat lebih baik pada kaca mata orang ramai kerana mempunyai kemahiran komunikasi dan penerangan yang lebih berkesan dalam sesuatu isu.

Sekiranya Kabinet dirombak dan Rafizi digantikan dengan Khairy yang jauh lebih berpengalaman, ia dilihat mampu memberi nilai tambah kepada kerajaan campuran Anwar.

Selain itu, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR itu dilihat sebagai ancaman kepada Anwar kerana juga mempunyai pengaruh yang kuat dalam parti dan ia semestinya kurang menyenangkan.

Untuk rekod, Rafizi sebelum ini paling lantang dalam menolak sebarang langkah untuk bekerjasama dengan UMNO khususnya Zahid, namun beliau terpaksa mengadaikan prinsipnya dan berkorban agar Anwar dapat menjadi Perdana Menteri.

Hanya dengan sokongan UMNO dan Zahid sahaja baharu kemudiaan Anwar dapat menjadi Perdana Menteri Ke-10.

Namun, jika Khairy mahu diambil untuk membantu kerajaan dengan memberinya peranan tertentu, ia juga pasti menimbulkan rasa tidak selesa kepada Zahid yang sebelum ini membuangnya daripada UMNO.

Untuk rekod, Khairy sebelum ini mahu mencabar jawatan Presiden dalam pemilihan UMNO tetapi tidak sempat bertanding sudah dibuang parti dan sehingga hari ini masih tidak membuat keputusan berhubung hala tuju politiknya.

Pembuangan Khairy itu ekoran kritikannya terhadap Zahid yang dilihat memainkan peranan dalam menyekat pertandingan bagi jawatan Presiden UMNO kerana waktu itu beliau mahu mencabar Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Bagaimanapun, Khairy sebelum ini sudah ditawarkan untuk menyertai Bersatu dan memberitahu akan membuat keputusan muktamad pada masa terdekat dan mahu berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Bersatu.

Pelbagai pertimbangan perlu dilakukan jika mahu melantik Khairy dalam kerajaan campuran, adakah sanggup Rafizi dan Zahid dilukai hati mereka jika Khairy diambil untuk berada dalam barisan Kabinet selepas ini?

Berita berkaitan
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024· Isu semasa
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024· Isu semasa
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Popular
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024
Lagi Politik terkini
Saingan empat penjuru PRK Kuala Kubu Bharu, tiada wakil MCA berarak
April 27, 2024 · Politik
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024 · Politik
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024 · Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024 · Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok