PRU-15: Perutusan Khas Muhyiddin

November 18, 2022 · Politik

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera. Apa khabar semua?

1.Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Illahi, kerana dengan izin dan limpah kurnianya, musim kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini telah berjalan dengan lancar sekali.

Alhamdulillah, sambutan yang diberikan dan sokongan yang dizahirkan oleh rakyat Malaysia kepada calon-calon Perikatan Nasional di seluruh negara amat memberangsangkan. Maklumlah,sebagai sebuah gabungan politik yang baharu, banyak cabaran yang kita perlu hadapi.

Saya amat tersentuh dan terharu melihat rakyat Malaysia menerima perjuangan saya dan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional lain pelopori. Dari Perlis hingga ke Sabah, gelombang sokongan yang diberikan kepada Perikatan Nasional amat luar biasa sekali.

Anak anak muda, mahasiswa universiti, warga emas, kaum wanita, penjawat awam, barisan hadapan kesihatan, barisan hadapan keselamatan, golongan professional, agamawan, pengusaha warung, pemandu lori, rider Grab dan Foodpanda, peneroka FELDA, peniaga kecil, penjaja dan freelancers ekonomi gig, di bandar, di desa dan di pinggiran bandar datang berduyun-duyun menzahirkan sokongan. Ada mereka yang datang membawa anak anak kecil, datang untuk menunjukkan sokongan. Jelas inilah keazaman rakyat Malaysia bangkit untuk memastikan sebuah kerajaan prihatin, bersih dan stabil dapat ditubuhkan.

Saudari saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian,

PRU-15 ini merupakan medan pertempuran yang amat sengit sekali. Penyertaan parti lama dan baharu, serta calon-calon bebas bermakna rakyat Malaysia disajikan dengan pelbagai pilihan.

Namun, pilihlah dengan betul. Pilihlah parti yang telah membuktikan dalam masa yang singkat, bahawa ia adalah satu wadah perjuangan yang mendengar denyut nadi rakyat, yang menjulang aspirasi dan cita-cita rakyat. Tolak parti yang tidak mementingkan integriti, tolak parti yang membudayakan rasuah, tolak parti yang tidak mampu menunaikan janji.

Dalam sesi sesi bersama rakyat, ada yang bertanya kepada saya. Mengapa kita perlu memilih Perikatan Nasional? Saya sering menjawab pilihlah Perikatan Nasional kerana ia adalah parti yang telah mengarusperdanakan agenda prihatin dalam Kerajaan, mengutamakan rakyat dan tidak putus putus membantu rakyat. Dari memberi bantuan tunai ke bakul makanan, subsidi upah ke moratorium, memastikan aksinasi diberi kepada semua secepat mungkin, telah Kerajaan PN lakukan dan buktikan ketika mentadbir di era pandemik. Kerajaan PN ikhlas membantu mengemudi negara dan membantu semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Kedua pilihlah Perikatan Nasional untul membentuk Kerajaan yang bersih, dipimpin pemimpin yang berintegriti dan berlaku adil kepada semua. Semestinya, kerajaan yang bersih akan memastikan rasuah ditolak, ketirisan ditampal supaya setiap ringgit dan sen duit rakyat dijaga dengan penuh amanah dan dibelanjakan untuk kepentingan rakyat

Ketiga, kerajaan yang stabil dapat dijana melalui keharmonian politik parti yang memerintah. Di dalam Perikatan Nasional kami hormat menghormati antara satu sama lain, tiada istilah buli membuli, kami setiakawan dan bekerjasama ke arah kebaikan Malaysia. Kestabilan yang dijamin melalui politik yang harmonis inilah yang akan menjamin kestabilan kerajaan PN dan membolehkan kita mentadbir dengan efektif dan inklusif apabila mendapat mandat daripada rakyat insyaAllah. Kestabilan inilah yang akan menjana pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan keyakinan pelabur di dalam dan luar negara untuk terus melabur dan merancakkan ekonomi Malaysia.

Saudara saudari rakyat Malaysia yang saya hormati sekalian,

Pandemik Covid-19 telah membuktikan bahawa kita mampu bersatu padu untuk menghadapi ancaman kepada negara. Seperti yang telah saya tekankan sebelum ini, kesan pandemik berbeza kepada setiap rakyat Malaysia. Saya menginsafi hakikat lebih 36,000 terkorban akibat pandemik ini dan jutaan lagi yang pernah dijangkiti. Kita sedekahkan bacaan Alfatihah untuk mereka yang terkorban dan doa saya juga buat kesejahteraan semua rakyat Malaysia yang telah dijangkiti virus Covid-19 termasuk saya dan keluarga.

Namun syukur ke hadrat Ilahi berkat usaha kita semua program vaksinasi terbesar dalam sejarah Malaysia, Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan PIKAS untuk pekerja sektor swasta telah berjaya kita laksanakan. Berkat usaha kerajaan yang saya pimpin ketika itu, kita telah bersama sama keluar dari pandemik ini melalui Pelan Pemulihan Negara yang membawa negeri-negeri dalam Malaysia ini bergerak keluar dari pandemik dengan selamat dan teratur melalui 4 fasa mengikut 3 nilai ambang iaitu bilangan kes, kapasiti hospital dan kadar vaksinasi.

Kejayaan kita membekalkan vaksinasi dengan kadar segera, telah menyelamatkan jutaan nyawa rakyat Malaysia. Terima kasih tidak terhingga saya kepada barisan hadapan kesihatan dan keselamatan yang membantu memastikan jutaan rakyat Malaysia selamat. Lapan pakej bantuan yang kita salurkan bernilai lebih RM530 billion termasuk lebih RM20 billion untuk bantuan tunai yang membantu lebih 10 juta rakyat Malaysia, hampir RM15 billion untuk subsidi upah, lebih RM6 billion untuk Geran Khas Prihatin untuk peniaga kecil. Semua ini dilakukan untuk melindungi ekonomi kita daripada lingkup. Setiap kali kita tutup kita bantu. Strategi ini sememangnya tepat kerana buktiknya kita lihat sekarang, apabila sektor ekonomi dibuka semula dan aktiviti ekonomi kembali rancak, pertumbuhan ekonomi Malaysia mencatatkan perkembangan positif.

Sewaktu saya menjadi Perdana Menteri, banyak keputusan yang sukar telah diambil. Saya dihina, dikeji dan dicaci, tidak mengapa. Setiap satu keputusan yang saya ambil dikaji dengan teliti, mengambil kira pandangan pakar, baik kesihatan mahupun ekonomi, serta bersama sama pemimpin negeri dan rentas parti. Semua dibuat berdasarkan data dan sains, dan keputusan bersama demi kebaikan negara dan rakyat Malaysia.

Saudara saudari rakyat Malaysia yang saya muliakan sekalian,

Kita harus bergerak ke hadapan. Pemulihan ekonomi yang tidak sekata, menyebabkan ramai yang tidak menikmati sepenuhnya angka-angka pertumbuhan sukuan ekonomi negara yang positif. Hampir 70 peratus rakyat Malaysia berada dalam kategori ‘vulnerable’ dari segi ekonomi hari ini. Jika mengikut takrifan B40 terdahulu kini sudah melebar menjadi B61. Tekanan inflasi dan kejatuhan mata wang ringgit mencengkam ekonomi rakyat. Ramai dari kalangan rakyat Malaysia yang terpaksa mengikat perut, makan sekali sehari untuk memastikan anak anak mampu makan dan tidak berlapar, supaya lampin dan susu mampu dibeli, tambang bas sekolah mampu dibayar dan sewa rumah mampu dilunaskan.

Tekanan kos sara hidup terutamanya di kawasan bandar ini bukan sahaja mendatangkan beban kewangan tetapi juga beban kesihatan termasuk kesihatan mental. Wang simpanan sudah kehabisan, wang KWSP telah dikorek dan diguna ketika pandemik, terhimpit pula dengan kos sara hidup yang melambung naik. Kadar kenaikan gaji dan gaji juga di paras rendah dan tidak mampu menampung kenaikan harga barang.Apatalah lagi cabaran ekonomi global tahun 2023 diramalkan tidak menentu dan kemelesetan hampir menjadi satu kepastian. Ini akan memberi kesan yang negarif kepada ekonomi negara.

Menginsafi dan memahami hakikat ini, kami di Perikatan Nasional telah membuat tawaran melalui manifesto PN BEST untuk membantu melakar visi kehidupan yang seimbang dari segi tuntutan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam tawaran PN Best, semua rakyat Malaysia akan menikmati manfaat daripada kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil. Tiada golongan yang terkecuali. Kita telah membuat 234 tawaran melalui 12 tunjang utama dan 30 pendekatan yang realistik, inklusif dan praktikal. Di sini saya ingin menyuntuh beberapa contoh tawaran kepada golongangolongan tertentu.

Misalnya, bagi anak muda, terdapat 21 tawaran yang telah kita tawarkan, antaranya mencipta satu juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, diskaun 25 peratus kepada bayaran PTPTN buat mereka yang mendapat kelas kedua atas di peringkat ijazah sarjana muda, pembiayaan rumah tanpa faedah bagi keluarga muda dan bantuan awal pengajian RM1,000 kepada semua pelajar baru mendaftar di IPT, untuk memastikan mereka yang layak tidak tercicir dan terlepas peluang melanjutkan pelajaran kerana masalah kewangan. Semua tawaran untuk anak muda ini bertujuan untuk memastikan beban kewangan anak muda di Malaysia boleh dikurangkan dan anak muda mampu membina kehidupan yang selesa dan bermaruah.

Untuk golongan wanita pula, jika diberi mandat, Kerajaan Perikatan Nasional akan fokus dalam membina masa hadapan yang lebih baik dengan meningkatkan keupayaan dan mensaksamakan peluang dan meningkatkan kemampuan membina kerjaya. Ini soal kehidupan yang bermaruah dan lebih baik. Contohnya, meningkatkan 30% penyertaan wanita dalam jawatan utama, penglibatan wanita dalam industri, peluang penyertaan latihan skilling dan reskilling dipertingkat. Fokus kedua adalah membantu golongan wanita menjana pendapatan dan menjana kemakmuran keluarga, termasuk tawaran seperti pinjaman tanpa faedah sehingga RM20,000 untuk wanita yang mahu menceburkan diri dalam keusahawanan dan pelepasan cukai pendapatan tambahan RM1,000. Fokus ketiga adalah membantu wanita untuk memastikan mereka mampu menjalankan amanah mereka sebagai tonggak keluarga dan mempunyai pilihan untuk mengembangkan kerjaya. Kita bantu golongan wanita supaya tidak berada dalam dilema antara kerjaya dan keluarga. Contoh tawaran PN Best adalah Skim Pelindungan Suri Rumah, Sistem Sokongan Wanita Bekerja termasuk memperbanyakkan kemudahan taska di tempat kerja untuk penjagaan anak, memperkenalkan Kad Kasih Ibu dan memberikan Pek Permulaan Penjagaan Ibu dan Anak.

Apabila bercakap soal wanita, bukan sahaja tawaran malah banyak yang telah kita lakukan sewaktu menjadi kerajaan, bukan sahaja dari segi bantuan tetapi juga dari segi dasar untuk melindungi dan mengangkat martabat wanita.

Bagi mereka di luar bandar, terutamanya di skim Felda di seluruh negara, dimana Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran saya dahulu telah melupuskan lebih RM8.3 bilion hutang peneroka FELDA. Kerajaan PN juga telah berjaya mengumpul dana melalui penerbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion untuk memulihkan FELDA. Apa yang kita telah lakukan untuk Felda ini menunjuk ilitizam politik kuat Kerajaan PN untuk memastikan kesejahteraan warga FELDA terbela. Warga Felda juga telah menikmati perumahan Generasi Baharu FELDA yang telah terbengkalai pada tahap 70 peratus. Dalam menggerak ke hadapan, jika kembali mentadbir, Kerajaan Perikatan Nasional akan terus memperkasakan warga FELDA melalui Wawasan FELDA Baru bagi menjamin masa depan yang lebih baik dengan mewujudkan peluang ekonomi baharu, meningkatkan peluang keusahawanan, meningkatkan infrastruktur asas termasuk liputan internet dan rumah milik.

Saudara saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian,

Ini hanya sebahagian daripada tawaran PN Best yang saya rasa anda sudah tahu dan baca. Seperti yang saya umumkan ketika melancarkan Tawaran PN Best ini, saya mendengar rintihan dan komen rakan rakan di media sosial dan di lapangan yang meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran bersasar KWSP. Jika ditakdirkan membentuk kerajaan, kita akan melaksanakan sebaik mungkin permintaan ini. Saya faham ini duit saudara-saudari untuk simpanan masa hadapan, namun saya juga sedar keadaan ekonomi sekarang di mana golongan rentan semakin meningkat bermakna mereka memerlukan lebih banyak sokongan. Kerajaan Perikatan Nasional akan terus membantu rakyat terkesan melalui penyelenggaraan semula sistem e-kasih dan memperkuatkan sistem jaringan keselamatan sosial negara, tetapi apakah guna kuasa yang ada jika kita tidak boleh bantu mempertimbangkan tuntutan rakyat yang susah dengan penuh bertanggungjawab? Kita perlu dengar denyut nadi rakyat tetapi pada yang sama terus bertanggungjawab dengan langkah yang teratur dan di luar kotak untuk memastikan kelangsungan hidup mereka tidak terjejas. Jika ditakdirkan menang juga, Kerajaan PN akan memperjuangkan moratorium pinjaman buat peniaga kecil supaya mereka tidak gulung tikar.

Langkah-langkah menyelamatkan ekonomi kita tidak terhenti di sini. Kita perlu membawa ekonomi Malaysia ke satu tahap yang lebih maju dan makmur. Untuk itu, strategi ekonomi Malaysia di bawah Perikatan Nasional akan menumpukan kepada mencipta peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal dan meningkat. It is not just about JOBS, JOBS, JOBS but Jobs with decent and growing wages. Untuk itu kita memerlukan pelaburan dan pengaplikasian teknologi untuk menambah nilai industri kita supaya kita berada di dalam rantaian bekalan global yang lebih lumayan dan mampu membayar gaji yang tinggi. Aplikasi digital juga harus digunapakai supaya produktiviti tenaga kerja Malaysia mampu ditingkatkan dan ini menjamin gaji juga meningkat.
Dengan Kerajaan yang bersih dan stabil, pelabur domestik dan antarabangsa akan terus melabur di Malaysia terutamanya di dalam sektor sektor strategik yang akan dikenal pasti dan dimajukan seperti pertanian, di mana pelaburan yang mengutamakan aplikasi teknologi tinggi akan diberi keutamaan. Ini bukan sahaja akan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan tetapi juga memastikan keselamatan makanan dan kedaulatan makanan kita terpelihara. Dengan strategi ini bukan sahaja rakyat Malaysia mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan petani, nelayan kita terus berkembang pendapatannya, tetapi kita juga akan mengawal kos tinggi harga barang dan sekaligus mengurangkan kebergantungan import barang makanan yang terdedah dengan turun naik kadar matawang dollar Amerika misalnya.

Saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya hormati sekalian,

Saya sudah menyentuh sedikit sebanyak visi ekonomi Kerajaan Perikatan Nasional dan apa yang akan kita lakukan jika diberi mandat oleh rakyat. Namun ingin saya tekankan, Kerajaan Perikatan Nasional akan memastikan pentadbiran dan dasar-dasar kami bersifat inklusif. Malaysia adalah milik rakyatnya yang berbilangan kaum dan agama, dan bukan milik mana mana pemimpin atau parti politik yang berkuasa.

Walaupun banyak tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada Perikatan Nasional ketika berkempen oleh musuh-musuh politik kami, dan beberapa pernyataan disalah erti dalam kehangatan berkempen, saya ingin menegaskan sekali lagi komitmen kami menjunjung tinggi Perlembagaan Negara dan berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara sebagai panduan dalam memastikan hak semua yang tidak mengira bangsa dan agama terus terpelihara.

Ketika pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya, dasar-dasar kerajaan pada ketika itu tidak mengira kaum dan agama. Lihat sahajalah program vaksinasi, bantuan tunai dan subsidi upah yang diberikan kerajaan. Adil untuk semua berdasarkan keperluan dan tidak bersandarkan warna kulit mahupun negeri. Lihat sahaja dalam isu royalti minyak, kita berlaku adil kepada semua. On this matter, I believe action speaks louder than words. Kerajaan Perikatan Nasional akan terus bersifat inklusif, membantu rakyat yang memerlukan, di mana sahaja mereka berada, bukan sahaja di Semenanjung Malaysia tetapi juga mereka di Sabah dan Sarawak.

Saudara saudari rakyat Malaysia yang saya hormati sekalian,

Berbaki berapa jam sahaja tempoh kempen PRU-15, saya ingin merakamkan penghargaan dan setinggi tinggi terima kasih kepada semua penjawat awam yang membantu dalam mengendalikan pilihanraya kali ini. Terima kasih kepada petugas SPR, kepada petugas keselamatan dan kepada sukaralewan yang bertugas sepanjang tempoh ini.

Ingat, pilihan di tangan anda. Keluar mengundi awal ajak rakan-rakan, abang, kakak, ibu dan ayah, jiran tetangga untuk keluar mengundi awal. Semak pusat mengundi anda dan jangan lupa bawa kad pengenalan. Kuasa ada di tangan anda. Buatlah pilihan yang terbaik.

Jangan termakan janji janji yang ditabur saudagar mimpi dan mereka yang tidak mementingkan integriti. Kembalikan Malaysia kepada satu sistem masyarakat yang menjunjung tinggi nilai nilai murni. Mari kita mulakan proses pembersihan negara daripada gejala rasuah. Let us stand up and say, enough is enough.

Rakyat kini punya pilihan yang lebih baik. Pilihan itu adalah Perikatan Nasional. Yakin dan percaya bahawa kita boleh mebtadbir dan membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi, yang lebih cemerlang, yang lebih maju, aman dan makmur. Semua ini bermula dengan undi daripada anda semua.

Bismillahirahmanirrahim,

Alhamdulillahi rabbil alamin hamdan yuwafi ni’amahu wa yukafi’u mazidah,
Ya rabbana lakal hamdu kama yambaghi lijalali wajhika wa ‘azimi sultonik,
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim
Kami bermunajat kepada-Mu Ya Allah
Kami bermohon kepada-Mu agar Engkau satukan lah hati-hati kami,
Lindungilah kami dan rahmatilah perjuangan kami.
Berikanlah kekuatan kepada kami,
Hamba-hamba-Mu yang lemah ini,
Untuk berjuang menegakkan kebenaran,
Menentang kemungkaran, rasuah dan penyelewengan,
dan Menghadapi segala dugaan,
Dengan hati yang sabar dan jiwa yang tenang,
Mudah-mudahan dengan tekad kami mencegah kemungkaran,
Dan menyeru ke arah kebaikan,
Engkau kurniakan kepada kami kekuatan iman.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Engkau rahmatilah seluruh rakyat Malaysia,
Engkau lindungilah negara kami dan kedaulatannya,
Engkau kurniakanlah segala kebaikan kepada kami semua,
Engkau jauhilah kami dari segala mara bahaya dan fitnah dunia.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Kami telah berusaha sehabis daya,
Untuk menyelamatkan negara tercinta,
Daripada cengkaman golongan kleptokrat yang hubbu al-dunia,
Dan kezaliman golongan yang mengabaikan agama.
Namun kami ini hanya insan-insan yang kerdil ya Allah,
Yang bergantung harap kepada ihsan dan inayah-Mu ya Allah.
Engkau lah yang Maha Kuasa,
Yang memberikan kuasa kepada orang yang Engkau kehendaki,
Yang menarik kekuasaan daripada orang yang Engkau kehendaki.
Maka dengan kekuasaan-Mu yang Maha Esa ini ya Allah,
Engkau berikanlah kemenangan kepada Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15,
Semoga dengan kemenangan ini kami dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil,
Supaya negara Malaysia yang tercinta ini terus terpelihara,
Supaya rakyatnya hidup aman, makmur dan sejahtera,
Terus maju dan terus berjaya.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Kabulkanlah doa permintaan ikhlas dari hati-hati kami yang sentiasa berserah kepada-Mu ya Allah,
Rayuan ikhlas hamba-hamba-Mu yang lemah ini,
Yang bernaung hanya pada rahmat-Mu,
Ya Rahman, Ya Aziz, Ya Rahim.
Rabbana atina fiddunia hasanah,
Wa fil akhirati hasanah,
Wa qina azabannar.
Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.

Do what is right. Undilah Perikatan Nasional. Pilihan tepat yang prihatin, bersih dan stabil. Selamat mengundi dan semoga kemenangan milik kita bersama, rakyat Malaysia, insyaAllah. May the sum of all our efforts contribute to this meaningful victory for Malaysia.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, Wassalamualikum wbt, terima kasih rakyat Malaysia!

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pengerusi Perikatan Nasional

Malaysia Memilih
Semak keputusan PRU15
Berita berkaitan
Selepas berkawan dengan UMNO, PH tidak lagi hormati kebebasan bersuara
4 jam lalu· Politik
Majoriti rakyat tolak kluster mahkamah dalam Kabinet bakal dibentuk Anwar
11 jam lalu· Politik
Calon PN Padang Serai beri keterangan polis selepas penyokong PH koyak
11 jam lalu· Politik
Sedia ke Bukit Aman jika disiasat, kata Hadi
14 jam lalu· Politik
Popular
Dakwaan Agong campur tangan bentuk kerajaan, NGO lapor polis terhadap Zahid
November 29, 2022
Calon PN Padang Serai beri keterangan polis selepas penyokong PH koyak
November 29, 2022
3 kali runding UMNO Pahang tolak perpaduan ummah, rela ikut DAP
November 29, 2022
Sedia ke Bukit Aman jika disiasat, kata Hadi
November 29, 2022
Lagi Politik terkini
MP Baling nafi sebar audio rakaman fitnah Anwar, beri penjelasan
4 jam lalu · Politik
PAS tunjuk bukti sikap DAP terhadap Islam, Melayu. UMNO buat-buat lupa
9 jam lalu · Politik
3 kali runding UMNO Pahang tolak perpaduan ummah, rela ikut DAP
9 jam lalu · Politik
Dakwaan Agong campur tangan bentuk kerajaan, NGO lapor polis terhadap Zahid
15 jam lalu · Politik
Amanah beri laluan kepada UMNO bertanding di Tioman selepas Zahid sokong PH-DAP
15 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Muhyiddin zahir terima kasih, Perikatan tidak akan sertai kerajaan Anwar
November 25, 2022
[VIDEO] Setpol Ismail Sabri dikaitkan rancang jatuhkan Najib
November 25, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok