
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini secara terbuka mendedahkan dosanya yang menyebabkan beliau menjadi mangsa serangan pihak lawan hampir setiap hari.
Calon PN DUN Hulu Kelang itu berkata beliau ‘berdosa’ dan digelar pengkhianat kerana tidak menyokong bekas bosnya itu mentadbir negara ini.
“Saya nak beritahu, apa dosa saya. Dosa saya kerana saya tidak menyokong pembohong seperti (Datuk Seri) Anwar Ibrahim mentadbir negara ini. Itu dosa saya.
“Sedangkan saya sudah menjaga dia berpuluh tahun. Saya jaga dia semasa dia jadi menteri, timbalan perdana menteri, dia masuk pejara pun saya jaga keluarga dia, (jaga) anak dia, dia keluar pun saya jaga lagi.
“PKR itu bukan dia yang bela, dia di dalam (penjara). Saya dan teman-teman yang mengangkat PKR menjadi parti yang kuat. Bila dia keluar, dia nak tikam saya. Siapa pun hairan sebenarnya. Cukuplah saya malas nak bincang soal orang seperti itu yang langsung tidak mengenang budi,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum DUN Hulu Kelang di Taman Melawati, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau sempat menyampaikan penghargaan ke atas rakan-rakan pimpinan partinya yang hadir pada ceramah itu untuk membantunya berkempen.
“Terima kasih kepada rakan pimpinan yang datang membantu saya kerana apa yang kita saksikan, ada enam negeri yang akan menghadapi pilihan raya dan lebih 245 DUN tetapi yang ditumpukan (PH-BN) hanya Hulu Kelang.
“Malam esok ada lagi puak-puak yang akan berkampung di sini. Tapi saya percaya orang Hulu Kelang sudah bersedia, sudah membuat keputusan,” katanya.
Menurutnya lagi, pimpinan-pimpinan PN yang berucap hari ini menumpu kepada soal rakyat berbeza dengan pimpinan PH-BN yang hanya menumpu untuk menyerangnya ketika berkempen.
“Kalau tuan-tuan lihat dari awal tadi, mereka menumpukan soal rakyat, bagaimana PN akan membantu dan menjamin masa depan yang lebih baik bagi rakyat, mereka mencerakinkan inisiatif, tawaran-tawaran untuk membantu kita mengangkat Selangor sebagai Super Smart State. Mereka beritahu apa tawaran yang boleh dilaksanakan.
“Tetapi kalau tuan-tuan lihat apa yang dikatakan di sebelah sana, langsung tidak membicarakan soal rakyat. Yang dilakukan hanya fitnah, serangan peribadi, maki hamun sehinggakan esok pun beliau telah disebutkan semalam di Seremban bahawa tujuan dia datang ke Hulu Kelang adalah untuk menyerang pengkhianat,” katanya.