
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor, 9 September ini (Sabtu).
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan perkara itu sejurus selesai mengadakan mesyuarat khas, hari ini.
“Bagi maksud PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, SPR menetapkan tarikh penting seperti berikut, hari penamaan calon 26 Ogos, Sabtu, hari undi awal 5 September, Selasa dan hari mengundi 9 September, Sabtu.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding pada 26 Ogos,” katanya.
Menurut Abdul Ghani, kos keseluruhan bagi dua pilihan raya kali ini dianggarkan sebanyak RM6 juta dengan PRK Pulai sebanyak RM4.5 juta manakala bagi DUN Sumpang Jeram RM1.5 juta.
Katanya, urusan semua permohonan kategori undi pos luar negara dan dalam negara akan dibuka bermula hari ini (3 Ogos) dan tarikh turut sehingga 12 Ogos bagi kategori 1A dan 1B (petugas, polis, tentera dan media serta warganegara yang berada di luar negara) dan 15 Ogos bagi kategoi 1C (agensi/organisasi).
Pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi bagi Parlimen Pulai ditempatkan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru manakala bagi tujuan sama untuk DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.
PRK ini diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN N13 Simpang Jeram berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Salahuddin, 61 yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Salahuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Pontian, Johor pada 24 Julai.