
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dikecam kerna sering mengkritiek Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan perpaduan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menerus dikritik berkait beberapa tindakan yang dilihat tersasar daripada agenda asal Pakatan Harapan (PH).
Selepas isu projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang dikritik dari pelbagai sudut, kini isu lantikan politik pula menerima rasa kurang senang dalam kalangan penyokongnya.
Ahli Parlimen PKR, Hassan Abdul Karim meluahkan kebimbangannya terhadap keyakinan rakyat selepas melihat tindak-tanduk pemimpin kerajaan hari ini yang jelas tiada beza dengan pentadbiran sebelum ini.
Beliau khuatir agenda PH dalam reformasi politik dan kerajaan akan lenyap jika Anwar tidak mengekang lantikan politik selanjutnya.
Wakil rakyat Parlimen Pasir Gudang itu bertegas tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa pelantikan ini perlu dibuat bagi memastikan kestabilan.
“Dahulu kita (PH) janji pada rakyat bagaimana? Nanti bila amalan ‘ghanimah’ politik ini sudah jadi asal bisa tegal biasa, sudah tidak ada beza prinsip kerajaan sekarang ini dengan kerajaan zaman pimpinan Najib, Muhyiddin.
“Dari dahulu lagi saya suarakan kesedihan mengenai perkara ini dan bimbang rakyat akan semakin hilang keyakinan terhadap PH dan kerajaan perpaduan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Malah bekas pengerusi PKR Johor itu turut mempersoalkan tindakan menteri membuat lantikan tanpa mengutamakan pakar dan teknokrat bagi jawatan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebaliknya lebih memilih ahli politik.
Sejak memegang tampuk kuasa, pentadbiran Anwar membuat beberapa lantikan politik termasuk memberi tempat kepada wakil-wakilnya yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Semalam Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Jumaat lalu, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang berada dalam barisan kerajaan dilantik sebagai pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia.
Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diterajui Datuk Seri Mohamad Sabu melantik lima pemimpin parti kerajaan malah beliau mempertahankan keputusan lantikan itu dan memberitahu ianya dibuat selepas dipersetujui pimpinan kerajaan dan ia juga tidak melanggar prinsip kerajaan perpaduan.
Beliau yang juga Presiden Amanah seolah-olah membayangkan lantikan itu bukan perkara besar kerana pengerusi-pengerusi yang dilantik itu hanya mempengerusikan mesyuarat dan dibantu oleh pakar yang akan memberi nasihat.
Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar yang kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah bagi Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli juga dari Amanah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Turut dilantik adalah bekas exco Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali daripada DAP sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan bekas ahli Parlimen PKR bagi Kuala Kedah, Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).