
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi dikritik berkait cara beliau menjawab soalan pelajar pada sesi dialog di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Naib Presiden Gerakan, Datuk Baljit Singh mengkritik Anwar yang disifatkan pembuli malah jawapan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang pemimpin nombor satu negara.
Baljit yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah berkata jawapan Anwar itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang perdana menteri dan menganggapnya seperti pembuli.
“Adakah perdana menteri tidak dapat membezakan antara musuh politik dan pelajar muda? Kerana itulah satu-satunya penjelasan tidak rasional kerana ia bercampur dengan agenda politik.
“Beliau perlu memahami perasaan rakyat Malaysia terutamanya pelajar yang sedang kecewa bukannya menjawab dalam keaadan emosi,” katanya lapor MalaysiaGazette, hari ini.
Jelas Baljit yang juga calon Perikatan Nasional (PN) DUN Bukit Tengah pelajar sekarang sudah matang dan mempunyai keinginan untuk memahami landskap politik Malaysia.
“Tingkah laku seperti itu amat memalukan. Mana perginya ‘pendekar-pendekar’ DAP yang selama ini memperjuangkan hak sama rata di Malaysia.
“Mana Timbalan Menteri Pendidikan daripada DAP? Adakah hanya diam membisu bersembunyi di belakang Anwar setelah menjadi kerajaan” soalnya.
Pertemuan terbaru Anwar dengan pengundi muda kelmarin menyaksikan beliau kelihatan berada dalam kemarahan dengan seorang pelajar yang bertanya kepadanya sama ada kerajaan akan menghapuskan sistem kuota yang memihak kepada Bumiputera.
Sebelum mengemukakan soalan, pelajar itu merayu supaya diberi masa untuk memberi penjelasan supaya dia tidak disalah tafsir.
“Sebelum saya bertanya soalan saya, saya ingin menyatakan bahawa saya ingin mengambil masa 1-2 minit untuk bertanyakan soalan dan juga memberi sedikit penjelasan, supaya ia tidak disalah tafsir,” katanya,
Walaupun begitu, Anwar menghalangnya beberapa kali ketika dia cuba menjelaskan soalannya membuatkan pelajar itu tergamam seketika.
Anwar kemudian memberitahunya bahawa dia sepatutnya mengikuti sesi ‘Temu Anwar’ sebelum ini.
“Saya sudah jawab. Lain kali ikut,” katanya sebelum menjawab soalan tersebut selama kira-kira 10 minit sambil mengkritik pelajar itu kerana tidak berlaku adil kepada Bumiputera di sekolah pedalaman.
Anwar juga berkata jika beliau ‘memuaskan’ pelajar itu dengan memansuhkan sistem kuota, ia akan menyebabkan beliau kalah dalam pilihan raya.
“Nak puas(kan) hati anda, Anwar Ibrahim hari ini batalkan sistem kuota. Kami akan kalah semua pilihan raya di negara ini. Anda akan derita lebih (jika negara ini) ditadbir oleh PAS dan Bersatu. Faham?,” katanya.