
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembayaran sekali gus RM1,000 kepada setiap Tok Batin Orang Asli, hari ini (17 Oktober 2022). - Gambar FB Mahdzir Khalid
Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini (17 Oktober 2022) mengumumkan pembayaran sekali gus (one-off) berjumlah RM1,000 kepada setiap Tok Batin atau Penghulu masyarakat Orang Asli di seluruh negara.
Beliau berkata, membabitkan peruntukan RM624,000, ia adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan Keluarga Malaysia terhadap sumbangan Tok Batin dan Penghulu dalam pembangunan dan pemuliharaan warisan masyarakat Orang Asli.
“Ini juga membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan sumbangan masyarakat Orang Asli yang merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia,” katanya menurut MalayMail yang memetik laporan AFP.
Beliau dilaporkan berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Peserta Felcra Berhad & Pekebun Kecil RISDA di Arena Merdeka Tapah, hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.
Pada 10 Oktober lalu, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan untuk memilih kerajaan baharu, tanpa mempedulikan bantahan rakyat yang bimbang mengenai musim tengkujuh dan banjir setiap hujung tahun.
Pembubaran Parlimen itu dibuat tiga hari selepas Bajet 2023 dibentang di Parlimen pada 7 Oktober, sebelum sempat ianya diluluskan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan menghargai peranan dan kerja keras Tok Batin dan Penghulu dalam memastikan pentadbiran peringkat kampung Orang Asli berjalan lancar.
Menyedari kepentingan institusi itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga memperuntukkan elaun berjumlah RM6.739 juta setahun untuk sejumlah 624 Tok Batin dan Penghulu.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM2.7 juta dalam Bajet 2023 untuk membangunkan ekonomi golongan belia dalam masyarakat Orang Asli.
Tambah Ismail Sabri, kerajaannya akan sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli sekiranya terus diberi mandat pada PRU-15 dan terus berjuang menyelesaikan beberapa masalah merke, termasuk isu tanah. — AFP