
Ahmad Faizal membuat laporan polis hari ini. Gambar FB Faisal Azumu
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membuat laporan polis berkait dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wanita seperti yag tular dalam satu laporan polis.
Ahmad Faizal berkata menepis dakwaan yang terkandung dalam laporan tersebut.
“Saya telah membuat laporan polis hari ini, 3 Ogos di Balai Polis Hartamas pada pukul 2.20 petang berikutan sebuah laporan polis yang tular di saluran Edisi Siasat dalam aplikasi Telegram hari yang sama pada jam 7.33 pagi tadi.
“Saya dimaklumkan bahawa laporan tersebut mengaitkan nama saya dan beberapa tuduhan yang dibuat oleh individu tersebut terhadap saya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, laporan tersebut menyebut masa, tarikh dan lokasi tentang ‘interaksi’ tertentu namun beliau mendakwa pada waktu dinyatakan itu beliau berada di Negeri Sembilan.
“Saya telah pun memaklumkan kepada pihak polis bahawa pada hari dan waktu tersebut saya berada di Negeri Sembilan kerana menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai Timbalan Presiden Bersatu. Ramai saksi yang boleh mengesahkan kehadiran saya,” katanya.
Menurut Ahmad Faizal, beliau meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Saya juga berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat,” katanya.
Sebelum ini tular satu laporan polis di media sosial yang didakwa dibuat seorang wanita mengaitkan Ahmad Faizal dan wanita terbabit mendakwa bekas Menteri Besar Perak itu mengeluarkan perkataan kurang sopan terhadap dirinya.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor mengesahkan laporan dibuat seorang wanita terhadap Ahmad Faizal itu ditarik balik pengadu pada hari sama ia dibuat.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata serangan berbentuk peribadi semupama itu tidak memberi sebarang manfaat dan hanya membazir masa serta sumber PDRM.
“Saya harap dalam tempoh berkempen ini, kita hanya berbicara tentang politik dan polisi yang boleh memajukan negara,” katanya.