
Pemimpin tertinggi Perikatan Nasional diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ada pemimpin parti lawan yang berapi-api bercakap menentang rasuah, namun sebaliknya mereka sendiri bergelumang dengan rasuah, kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sebaliknya, berbeza dengan Perikatan, terutama PAS, di mana tidak ada pemimpin yang terbukti telah melakukan rasuah dan dihadapkan ke mahkamah, kata Presiden PAS itu hari ini (28 Oktober 2022).
Katanya ia berbeza dengan kejadian rasuah yang merebak dan tidak terkawal di dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ketika kedua-dua parti itu mentadbir negara.
“Perikatan Nasional (PN) yang disertai oleh PAS belum terbukti adanya mereka yang dikenakan tuduhan dan tiada pula yang dibawa ke mahkamah.
“Apa yang berlaku hari ini, hukuman hanya dijatuhkan terhadap penerima rasuah sahaja. Adapun pemberi rasuah terlepas hukuman kerana ada kaitannya dengan politik wang yang diberikan oleh mereka kepada parti-parti politik.
“Sehinggalah amalan rasuah itu merebak dan tidak boleh dikawal daripada memasuki dalam pemilihan parti-parti kerajaan BN dan PH. Hal ini termasuklah membeli undi pilihan raya yang menjadikan rasuah itu laksana wabak yang sangat membahayakan masa depan negara kita.
“Kalangan mereka yang beragama Islam dalam PH, terdapat sebahagiannya yang terlibat sama bergelumang dengan rasuah, malah ada juga yang mengelirukan kerana pada zahirnya kelihatan baik dan mempunyai semangat berapi-api untuk melawan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata parti itu berusaha memenuhi syarat-syarat bagi memastikan pentadbiran negara akan datang lebih bersih, amanah dan berintegriti, dengan menapis semua nama calon-calon yang dicadangkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.
Katanya setiap calon PAS wajib mendapat pengesahan Majlis Syura Ulama, kemudian dilakukan baiah (janji setia) dan sumpah dengan nama Allah SWT untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.
“PAS telah berjaya membuktikan kerajaan yang bersih daripada rasuah, apabila memerintah dengan kuasa yang terbatas di Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Termasuklah mengemudi beberapa kementerian yang ditugaskan kepada PAS mulai tahun 1974 hingga 1978 ketika menyertai kerajaan campuran pada era Almarhum Tun Abdul Razak dahulu, dan terkini dalam kerajaan PN.
Beliau berkata semua kerajaan negeri yang ditadbir oleh PAS bersih daripada tuduhan rasuah dan terbuka bebas kepada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Keadaan ini sangat berbeza dengan kerajaan PH di beberapa negeri dan peringkat pusat yang ternyata mempunyai tuduhan rasuah, malah dihentikan perbicaraan dan siasatannya.
“Dalam BN juga, ada yang telah dihukum, dituduh dan diseret dengan tuduhan rasuah ke mahkamah, tetapi tidak dibatalkan kes mereka sepertimana PH,” katanya.