
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kerajaan yang ada hari ini tidak berfungsi dengan sewajarnya.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya menjalankan tugasnya menyelesaikan masalah rakyat tidak berbuat demikian sebaliknya hanya sibuk ke sana ke sini.
“Sekarang negara ada krisis tak? Ada. Krisis pertama, politik. Ada kerajaan tapi tak buat apa-apa. Ada kerajaan tapi tak berfungsi. Ada perdana menteri tapi bodoh, bohong. Ada kerajaan tapi tak tahu mana dia pergi. Hok ke sana ke mari, berdansa, menyanyi…apa Azizah, Azizah. Orang dok susah.
“Patut cari jalan macam mana nak menyelesaikan masalah harga barang melambung. Oh dia kata ini bukan saja di Malaysia tapi di seluruh dunia. Kita tak kisah yang seluruh dunia itu masalah dia, ini Malaysia siapa jaga? Nama dia Anwar,” katanya ketika berucap pada Ceramah Grand Finale Perikatan Nasional di Kijal, Terengganu, malam tadi.
Katanya, enam pilihan raya negeri (PRN) ini menjadi platform untuk rakyat memberi isyarat kepada Anwar supaya meletakkan jawatannya.
“Apabila kita berhadapan dengan pilihan raya ini, untuk memberi satu isyarat atau pun referendum kepada Putrajaya yang duduk di situ ialah Anwar Ibrahim, bahawa sudah cukuplah masa dia tak boleh duduk lama di situ, eloklah dia letakkan jawatan.
“Duduk pun tak buat apa-apa nak buat apa? Rakyat sedang menderita. Setidak-tidaknya, bolehlah bantu sedikit sebanyak bebanan yang mereka hadapi tapi tak ada apa pun,” katanya.
Sebelum itu beliau menyentuh soal sepanjang tempoh pentadbiran Anwar, tiada satu pun yang dilakukan untuk mengurangkan beban rakyat terutama berkait kos sara hidup yang kian melambung.
“Yang agak lebih dahsyat ialah selepas hampir lapan bulan telah berlalu daripada tarikh beliau mengangkat sumpah menjadi perdana menteri, banyak orang berkata bahawa Anwar Ibrahim tidak buat apa pun untuk membantu rakyat.
“Seorang perdana menteri…kerusi ini bukan cakap empuk dah, kerusi yang mempunyai kuasa terbesar dalam negara kita. Kuasa yang ada itu bukan untuk tujuan sedap hati sendiri, hok naik helikopter ke sana ke mari, pergi merantau seluruh dunia, itu bukan kerja. Kerja yang patut dibuat ialah untuk melihat masalah rakyat.
“Apa masalah yang rakyat hadapi hari ini? Masalah paling utama adalah kos sara hidup. Soal penderitaan kita, hari-hari berhadapan dengan masalah harga barang naik melambung.
Saya pergi semua tempat saya tanya, beri saya satu apa yang Anwar Ibrahim dah buat kepada tuan-tuan, puan-puan yang baik dalam masa lapan bulan ini. Tolong bagi. Tak ada apa pun. Eh lapan bulan. Tak kanlah tak boleh fikir apa nak buat,” katanya.
Beliau sempat mengimbau pelbagai inisiatif yang dilancarkan sepanjang menjawat sebagai Perdana Menteri ketika pandemik melanda.
“Saya sebutkan soal ini bukan nak membangga diri (apa yang dilakukan sepanjang menjadi PM) tapi ini soal kepimpinan. Apa yang pemimpin boleh lakukan ketika berhadapan dengan krisis untuk menangani masalah?
“Satu menjaga nyawa rakyat jangan terkorban, kedua, kehidupan rakyat jangan ada yang mati kebuluran. Itu telah pun kita buat. Berapa lama tempoh? Lebih kurang setahun lebih, alhamdulillah hari ini dah boleh duduk ramai-ramai,” katanya.