Rampasan aset Petronas, Malaysia dibenarkan gantung tuntutan Sulu

July 13, 2022 · Isu semasa

Malaysia berjaya mendapat kebenaran untuk menggantung keputusan tuntutan waris kesultanan Sulu, ia sebagai tindak balas yang diambil kerajaan ekoran laporan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dirampas.

Mahkamah Rayuan Paris semalam membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dengan kebenaran tersebut, ia bermakna Final Award yang diputuskan penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa bertarikh 28 Februari 2022 tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga Mahkamah Paris membuat keputusan muktamad berkenaan permohonan pembatalan Final Award dibuat kerajaan.

Wan Junaidi menegaskan, kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan.

Katanya, perintah penggantungan itu hasil pelbagai tindakan perundangan yang diambil Kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan itu yang difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

“Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan waris Sultan Sulu dan memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi menegaskan, Kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan waris Sultan Sulu dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

Wan Junaidi menjelaskan, semalam dua syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg dimaklumkan mengenai penguatkuasaan Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

“Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang,” katanya.

Katanya, Kerajaan Malaysia sudah mengambil tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol termasuk membuat permohonan bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah deklarasi dan injunksi bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol dengan merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020, permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengenepikan ‘Partial Award on Jurisdiction’ bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan Dr Stampa.

“Dengan tindakan perundangan yang diambil Kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun 2021 telah membatalkan pelantikan Dr Stampa dan memutuskan semua prosiding timbang tara serta apa-apa keputusan Dr Stampa, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.

“Dr Stampa tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan mahkamah di Madrid dan sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris.

“Pada 29 September 2021, pihak penuntut telah memperoleh Perintah Exequatur secara ex-parte (sebelah pihak) daripada Tribunal de Grande Instance di Paris, yang telah mengiktiraf ‘Partial Award’ yang dikeluarkan pada 25 Mei 2021 dan dengan itu membenarkan Dr Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris,” katanya lagi.

Rentetan itu, jelas beliau Kerajaan Malaysia mencabar Perintah Exequatur yang diperoleh secara ex-parte itu dan Kerajaan Malaysia berjaya memperoleh perintah penggantungan bertarikh 16 Disember 2021 daripada First President of the Paris Court of Appeal.

“Ini bermakna pihak penuntut terhalang daripada bergantung pada Perintah Exequatur yang diperoleh pada 29 September 2021. Bertentangan dan bercanggahan dengan perintah penggantungan itu, penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur itu berkuat kuasa dan Final Award telah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Malaysia juga telah memfailkan prosiding jenayah terhadap Dr Stampa bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid dan prosiding itu masih berjalan.

Terdahulu, akhbar Financial Times semalam melaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu, yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Berita berkaitan
Samsuri tak tolak anjur solat hajat berhubung tuntutan wang royalti
23 jam lalu· Politik
Permohonan Najib untuk hadir prosiding Mareva ditolak mahkamah
November 24, 2023· Politik
Kurang ahli dalam Dewan Rakyat sekali lagi, sidang ditangguhkan seketika
October 25, 2023· Politik
Permohonan Najib ketepi injunksi saman 1MDB beku aset RM681 juta ditolak
September 27, 2023· Isu semasa
Popular
Kes bunuh teman wanita: Pemandu lori dipenjara 35 tahun, 12 sebatan
November 29, 2023
Sirul dipakaikan peranti pemantauan: Laporan
November 29, 2023
Yasin bebas pertuduhan kes dadah, diarah ke Hospital Bahagia
November 29, 2023
Selamat tinggal dunia mak nyah, luahan Cikgu Erin
October 19, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Kes bunuh teman wanita: Pemandu lori dipenjara 35 tahun, 12 sebatan
14 jam lalu · Isu semasa
Yasin bebas pertuduhan kes dadah, diarah ke Hospital Bahagia
14 jam lalu · Isu semasa
Mahkamah benarkan pasport Muhyiddin dipulangkan untuk sementara
22 jam lalu · Isu semasa
Mangsa banjir di Terengganu, Kelantan kekal setakat pagi ini
22 jam lalu · Isu semasa
Sirul dipakaikan peranti pemantauan: Laporan
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Agihan saksama kepada sekolah cina walaupun tak dihargai
5 jam lalu
[VIDEO] Sanusi konsisten salur peruntukan pembangkang Kedah sejak 2020
7 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok