William, Harry sekali lagi beriringan di belakang jasad orang tersayang

September 14, 2022 · Dunia

Putera William dan adiknya Putera Harry berjalan beriringan di belakang keranda nenek mereka Ratu Elizabeth II pada Rabu, satu adegan yang mengingatkan 25 tahun lalu semasa kedua-duanya masih lagi kanak-kanak, mengikuti keranda ibu mereka Puteri Diana.

Adik-beradik itu, yang hubungannya menjadi renggang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mengambil bahagian dalam perarakan dari Istana Buckingham ke Westminster Hall, di mana jasad Ratu Elizabeth akan disemayamkan selama empat hari sehingga pengebumiannya pada Isnin.

Bapa mereka Raja Charles III berjalan di hadapan bersama anak-anak mendiang Ratu Elizabeth yang lain. Isteri Charles, Permaisuri Camilla; isteri William, Kate (Princess of Wales), dan isteri Harry, Meghan (Duchess of Sussex), menaiki kereta.

Pada 1997, selepas Diana terbunuh pada usia 36 tahun dalam kemalangan kereta di Paris, William dan Harry, berusia 15 dan 12 tahun, berjalan melalui pusat Kota London dalam pengebumian ibu mereka.

Kedua-dua beradik itu bercakap pada masa lalu tentang trauma berpanjangan yang dialami selepas kematian ibu mereka dan perjalanan yang panjang serta melelahkan itu, di mana mereka mengekalkan perasaan yang tenang walaupun kesedihan dan kegawatan tetap dirasai.

Adik-beradik itu rapat selama bertahun-tahun selepas kematian Diana, tetapi kehidupan mereka berubah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

William, yang mendedikasikan dirinya sepenuh masa untuk tugas dirajanya, kini berada di barisan hadapan sebagai pewaris takhta. Putera Harry pula tinggal di Amerika Syarikat (AS), setelah meninggalkan sendiri tugas dirajanya sejak 2020.

Harry dan Meghan memberikan temu bual hebat kepada Oprah Winfrey pada Mac 2021 di mana Meghan bercakap tentang rasa tidak bahagia dan pengasingannya semasa menjadi kerabat diraja selepas dia berkahwin dengan Putera Harry pada 2018.

Harry menyifatkan rasa terperangkap dengan kehidupan diraja dan mengkritik keluarganya kerana gagal membantu isterinya.

Meghan juga berkata terdapat “kebimbangan dan perbualan” dalam keluarga ketika dia hamil anak lelakinya, Archie, tentang warna kulitnya. Ibu Meghan berkulit hitam dan bapanya berkulit putih.

Istana Buckingham menjawab bahawa “beberapa kenangan mungkin berbeza-beza” walaupun isu yang dibangkitkan adalah “membimbangkan”.

Sejak kematian Ratu Elizabeth pada Khamis lalu, terdapat tanda-tanda bahawa keluarga diraja cuba memperbaiki hubungan dengan Putera Harry dan Meghan.

Dalam ucapan pertamanya sebagai raja, Charles berkata dia menyayangi mereka, dan keesokan harinya pasangan itu menyertai William dan Kate berjalan-jalan di kalangan orang ramai yang berkabung berhampiran Istana Windsor.

Sama ada kematian Ratu Elizabeth membawa kepada perhubungan yang berkekalan antara adik-beradik itu masih belum dapat dilihat.

Sejak keretakan hubungan kedua-duanya terbongkar, mereka telah bersama pada beberapa kesempatan yang penuh emosi yang nampaknya tidak membawa mereka kembali lebih dekat.

Salah satunya ialah pengebumian datuk mereka Putera Philip, suami Ratu Elizabeth, pada April tahun lalu, apabila mereka berjalan di belakang keranda, walaupun tidak bersebelahan – kedua-duanya dipisahkan oleh sepupu mereka.

Mereka juga kelihatan bersama ketika majlis pembukaan patung ibu mereka di Istana Kensington, sambil kedua-duanya berkata:

“Setiap hari, kami berharap dia (Puteri Diana) masih bersama kami.” – Agensi

Berita berkaitan
Sindiket pelaburan didalangi warga Britain tumpas, 81 individu ditahan
February 22, 2023· Isu semasa
Saya ada di London tapi tak tahu ada ‘Langkah London’: Mahdzir
January 11, 2023· Politik
Putera Harry mengaku bunuh 25 pejuang Taliban ketika operasi
January 6, 2023· Dunia
Sunak PM Britain paling kaya
October 26, 2022· Dunia
Popular
Arab Saudi benar umat Islam Malaysia pilih tiga jenis visa umrah
March 17, 2022
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok