
Mayat seorang penculik yang ditembak mati di Herat, barat Afghanistan digantung untuk tontonan umum serta peringatan kepada penjenayah lain. - Gambar Reuters
Pihak berkuasa Taliban di bandar Herat, barat Afghanistan menembak mati empat lelaki dipercayai penculik, sebelum menggantung mayat mereka untuk tontonan dan peringatan kepada umum.
Timbalan Gabenor Herat, Sher Ahmad Ammar berkata kumpulan itu menculik seorang ahli perniagaan tempatan dan anaknya dan cuba membawa mereka keluar dari bandar itu, sebelum bertembung dengan tentera Taliban yang melakukan sekatan di sekeliling bandar itu.
Berlaku tembak menembak menyebabkan empat penculik itu terbunuh, manakala seorang anggota tentera Taliban cedera.
“Mayat mereka dibawa dan digantung di dataran utama di tengah bandar untuk menjadi teladan dan peringatan kepada kumpulan penculik lain,” katanya.
Ahli perniagaan dan anaknya bagaimanapun, diselamatkan.
Seorang penduduk Mohammad Nazir berkata dia sedang membeli makanan berhampiran Dataran Mostofit apabila mendengar pengumuman menerusi pembesar suara untuk meminta orang ramai berkumpul.
“Apabila saya keluar, saya melihat mereka membawa mayat menggunakan trak pikup sebelum menggantung menggunakan kren,” katanya.
Klip video dan gambar mayat tergantung dengan tulisan ‘ini adalah hukuman kepada penculik’ dikongsi secara meluas di media sosial.
Tiga mayat penculik yang lain dikatakan digantung di tempat lain sekitar bandar itu.
Ketika temu bual dengan Associated Press minggu ini, pemimpin kanan Taliban Mullah Nooruddin Turabi berkata kumpulan itu akan mengembalikan hukuman mati dan potong tangan terhadap pesalah mengikut jenayah yang dilakukan.
Walaupun mendapat kecaman antarabangsa, Taliban mengatakan mereka akan terus melaksanakan hukuman cepat dan berat kepada penjenayah untuk mencegah rompakan, pembunuhan dan penculikan yang berleluasa di Afghanistan. – Agensi