
Sebahagian daripada pangsapuri Champlain Towers di Surfside, Miami, Amerika Syarikat, setinggi 12 tingkat yang tiba-tiba runtuh awal pagi Khamis ketika penghuninya sedang tidur. - Gambar AFP
Sekurang-kurangnya 159 penghuni pangsapuri Champlain Towers di Surfside, Miami, Amerika Syarikat (AS) yang runtuh kelmarin dilaporkan masih hilang, lapor CNN yang memetik pegawai kecemasan.
Empat penghuni pangsapuri 12 tingkat berbentuk L itu disahkan terbunuh, manakala 11 lagi dikeluarkan daripada runtuhan.
Datuk Bandar Miami-Dade County, Daniella Levine Cava berkata mereka masih berharap untuk menemui penghuni yang terselamat, sementara pasukan pencari dan penyelamat bekerja 24 jam dan melaporkan mereka mendengar seseorang memukul sesuatu di bawah timbunan runtuhan.
“Amat tragis apabila saya mengetahui bahawa tiga mayat telah dikeluarkan dari runtuhan itu,” katanya.
Punca yang menyebabkan bangunan berusia 40 tahun itu runtuh awal pagi Khamis belum diketahui.
Sekurang-kurangnya 120 penghuni pangsapuri itu sudah dikesan, namun pihak berkuasa tidak pasti berapa jumlah sebenar yang berada di dalamnya ketika ia runtuh.
Presiden Joe Biden meluluskan perisytiharan darurat bagi Florida, yang bermakna Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (Fema) akan turut membantu agensi-agensi negeri.
Sepanjang malam pasukan penyelamat menggunakan kamera sonar dan anjing pengesan ketika mereka mereka membersihkan timbunan runtuhan bagi mencari mangsa yang terselamat.
Kebanyakan penghuni sedang tidur ketika pangsapuri itu runtuh kira-kira jam 1 pagi Khamis.
Pasukan pencari juga dilaporkan mengesan seseorang sedang mengetuk sesuatu dan bunyi lain. Bagaimanapun pasukan penyelamat dikatakan tidak dapat memasuki lebih jauh di bawah runtuhan kerana bimbang ia akan menimpa mereka.
Hujan dan ribut yang berterusan juga merumitkan tugas pasukan mencari dan menyelamat. – Agensi