
Pemimpin Stram Kurs, Rasmus Paludan membatalkan rancangan membakar al-Quran pada perhimpunan di Norrkoping pada Ahad, 24 April 2022.
Negara-negara Arab dan Islam terus mengecam sekeras-kerasnya rancangan kumpulan politik sayap kanan Sweden Stram Kurs untuk membakar naskhah al-Quran, kitab paling suci dalam Islam, pada bulan Ramadan sekarang.
Pertempuran berlaku di Norrkoping, Linkoping, Rinkeby, Malmo, Orebro, dan ibu kota Stockholm pada hujung minggu ketika polis cuba menghalang pembakaran buku itu berlaku.
Arab Saudi mengecam perbuatan membakar al-Quran secara “sengaja” oleh kumpulan itu sambil menyifatkannya sebagai hasutan terhadap umat Islam, sebaliknya menyeru untuk menggalakkan budaya dialog, toleransi dan kewujudan bersama agama.
“Kementerian Luar Negeri menyatakan kecaman Kerajaan Arab Saudi terhadap perbuatan itu yang disengajakan, provokasi dan hasutan terhadap umat Islam oleh beberapa pelampau di Sweden,” kata Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan.
Rancangan Stram Kurs dikecam oleh Mesir, Iran, Iraq, Jordan, Malaysia dan Qatar. Bantahan juga dikemukakan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam, Liga Muslim Dunia, dan Parlimen Arab, badan perundangan Liga Arab.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, polis Sweden berkata 40 orang cedera, termasuk 26 pegawai polis, lebih daripada 20 kenderaan telah rosak atau musnah, dan 26 orang ditangkap dalam keganasan itu.
Peguam Denmark-Sweden dan ahli politik sayap kanan Rasmus Paludan, yang mengasaskan Stram Kurs pada 2017, merancang mengadakan demonstrasi di Norrkoping pada Ahad, tetapi menurut media Sweden dia tidak hadir.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Stram Kurs lewat Ahad, Paludan berkata perhimpunan itu telah dibatalkan kerana penganjur merasakan polis Sweden tidak dapat melindungi mereka.
Kontroversi itu bermula pada 15 April apabila Paludan berkongsi gambar dengan 4,700 pengikut Instagramnya memegang al-Quran yang kelihatan seperti terbakar di hujungnya, dengan kapsyen berbunyi: “Al-Quran terbakar di Rinkeby.”
Keesokan harinya, dia muncul menyeru pengikut media sosialnya untuk meniru tindakannya dengan tulisan yang berbunyi: “Masa untuk membakar al-Quran.”
Walaupun masih merupakan kumpulan pinggiran dalam politik Scandinavia, Stram Kurs mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya susulan krisis pelarian Eropah 2015, apabila berjuta-juta orang yang melarikan diri dari konflik dan ketidakstabilan di Timur Tengah, Afrika dan Asia mula tiba di bumi Eropah.
Stram Kurs dan kumpulan lain di sayap kanan secara rutin berusaha mencetuskan permusuhan terhadap umat Islam, pendatang ekonomi dan pelarian, malah menggesa pengusiran besar-besaran kumpulan ini kononnya untuk ‘mengekalkan identiti etnik asli Sweden’.
Paludan, yang berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya perundangan Sweden pada September, kini sedang menjelajah negara itu untuk mendapatkan sokongan bagi pencalonannya, sering sengaja berkempen di kawasan yang mempunyai majoriti masyarakat Islam.
Ini bukan kali pertama Paludan memprovokasi umat Islam dengan seruan untuk membakar al-Quran secara terbuka. Pada November 2020, laman webnya menggesa penyokong di Paris untuk berkumpul di Arc de Triomphe untuk “membakar al-Quran sebagai persediaan untuk perhimpunan awam yang aman.”
Pada bulan sama, Paludan juga menggesa penyokongnya berkumpul di pinggir bandar Brussels Molenbeek, di mana “para patriot Eropah akan membakar al-Quran secara terang-terangan menghina agama Islam.”
Kerana mencetuskan kebencian terhadap masyarakat Islam di akaun media sosial Stram Kurs, Paludan dijatuhi hukuman penjara sebulan pada 2020. Tahun sebelumnya, dia dijatuhkan hukuman gantung kerana perkauman dan menghadapi 14 pertuduhan, termasuk memfitnah dan memandu secara berbahaya.
Paludan juga bukanlah tokoh masyarakat pertama yang mencetuskan kebencian dengan cubaan membakar naskhah al-Quran. Pada tahun 2010, Terry Jones, seorang paderi Florida dan pengasas Dove World Outreach Center, berikrar untuk menandakan ulang tahun kesembilan serangan 9/11 dengan membakar kita suci Islam itu.
Rancangan itu mendapat kecaman seluruh dunia, malah Vatican dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa Pastor Jones untuk tidak meneruskannya.
David Petraeus, ketika itu komander Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa di Afghanistan, memberi amaran bahawa pembakaran al-Quran boleh dieksploitasi oleh Taliban dan kumpulan pelampau lain untuk mendapatkan sokongan atau mempromosikan tindakan keganasan di bumi Barat. – Agensi