Konflik Ukraine: Tiga angkasawan Russia, AS bersama kembali ke bumi

March 30, 2022 · Dunia

Seorang angkasawan Amerika Syarikat (AS) dan dua angkasawan Russia dijadualkan berlepas dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bersama-sama menaiki kapsul Soyuz kembali ke Bumi pada Rabu (30 Mac), walaupun permusuhan AS-Russia semakin meningkat berhubung perang di Ukraine.

Kapsul Soyuz Russia yang membawa Mark Vande Hei dari NASA dan rakan angkasawannya Anton Shkaplerov serta Pyotr Dubrov dijadualkan berlepas dari ISS pada jam 6.45 pagi GMT (2.45 petang waktu Malaysia) dan melakukan pendaratan payung terjun di tengah Kazakhstan hampir lima jam kemudian.

Zon pendaratan terletak kira-kira 400 kilometer ke timur laut kemudahan pelancaran angkasa Russia di Kosmodrom Baikonur di Kazakhstan.

Vande Hei, 55, yang menyelesaikan misi ISS keduanya, akan mencatat rekod angkawasan AS berada selama 355 hari berturut-turut di orbit, mengatasi rekod 340 hari sebelumnya yang dimiliki angkasawan Scott Kelly pada 2016, menurut NASA.

Rekod dunia sepanjang masa perseorangan tinggal paling lama di angkasa telah dipegang angkasawan Russia Valeri Polyakov yang menghabiskan lebih daripada 14 bulan di atas stesen angkasa Mir, sebelum kembali ke Bumi pada 1995.

Dubrov, 40, yang terbang ke ISS bersama Vande Hei pada April lalu dari Kosmodrom Baikonur, akan melengkapkan penerbangan angkasa lepas pertamanya, berkongsi 5,680 orbit Bumi dan lebih 240 juta kilometer di angkasa dengan Vande Hei, kata NASA.

Shkaplerov, 50, pula baharu sahaja menamatkan gilirannya sebagai komander ISS terbaharu, adalah veteran empat misi ke pos orbit, mengumpul 708 hari di angkasa, jauh melebihi jumlah kerjaya Vande Hei selama 523 hari, menurut NASA.

Shkaplerov memulakan tugas stesen angkasa itu pada Oktober lalu.

Penerbangan pulang bersama AS-Russia dari ISS diperhatikan dengan teliti ketika ketegangan memuncak antara Moscow dan Washington berhubung pencerobohan Russia ke atas Ukraine, yang telah merebak ke dalam kerjasama jangka panjang penerokaan angkasa antara dua bekas musuh Perang Dingin.

Mengumumkan sekatan ekonomi AS terhadap kerajaan Presiden Russia Vladimir Putin pada 24 Februari, Presiden AS Joe Biden mengarahkan sekatan eksport berteknologi tinggi terhadap Moscow yang menurutnya direka untuk “memburukkan” industri aeroangkasa Russia, termasuk program angkasa lepasnya.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas Russia Roscosmos, Dmitry Rogozin kemudian menyelar tindakan itu yang disifatkannnya boleh “memusnahkan” kerjasama berpasukan ISS dan akan menyebabkan stesen angkasa lepas itu terkeluar dari orbitnya.

Minggu berikutnya, agensi berita Russia dikendalikan kerajaan, RIA Novosti, menyiarkan video palsu yang menggambarkan angkasawan melambai mengucapkan selamat tinggal kepada Vande Hei sebelum modul ISS Russia berpisah dari stesen angkasa dan terbang tanpanya sambil mendapat tepukan pegawai Russia di pusat kawalan misi – meninggalkan sebahagian lagi ISS terkeluar dari orbit.

Klip video itu, yang disifatkan oleh RIA Novosti sebagai “komik,” memainkan lagu balada cinta berbahasa Russia “Selamat tinggal,” oleh vokalis Russia Lev Leshchenko.

Pada masa yang sama, Rogozin mengumumkan bahawa Russia akan berhenti membekalkan atau memperbaiki enjin roket buatan Russia yang digunakan dua pembekal aeroangkasa AS kepada NASA, sambil mencadangkan angkasawan AS boleh menggunakan “batang penyapu” untuk pergi ke orbit.

NASA berkata kru ISIS melibatkan angkawasan AS dan Russia mengetahui apa yang berlaku di bumi, tetapi mereka tetap bekerjasama secara profesional.

Tiga kru ISS yang kembali digantikan tiga angkasawan yang terbang ke orbit pada 18 Mac, menyertai tiga lagi rakan sekerja AS, Vande Hei dan seorang angkasawan Jerman dari Agensi Angkasa Eropah.

Agensi angkasa lepas Russia kemudiannya menolak laporan media Barat yang mendakwa angkasawan Russia yang baru tiba telah memilih untuk memakai sut penerbangan kuning dengan hiasan biru – warna bendera negara Ukraine, sebagai menyokong Ukraine.

“Kadang-kadang kuning hanyalah kuning,” kata perkhidmatan akhbar Roscosmos di saluran Telegramnya. – Agensi

Berita berkaitan
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024· Isu semasa
Anwar sahkan akan hadir ke sidang APEC walaupun digesa boikot
November 7, 2023· Isu semasa
PAS anjur perhimpunan hujung minggu ini tak larang laungan takbir: Laporan
October 23, 2023· Politik
Tiada liputan PMX berlepas ke UAE oleh media arus perdana?
October 5, 2023· Politik
Popular
Indonesia berduka kematian anak gabenor Jawa Barat di Switzerland
June 13, 2022
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok