
Kematian pertama akibat varian Omicron direkodkan di Thailand.
Hospital di ibu negara Thailand, Bangkok dan wilayah sekitarnya dilaporkan kehabisan katil susulan peningkatan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan, kata pegawai kesihatan negara itu.
Sejak beberapa bulan lalu, Thailand berdepan kesukaran apabila Covid-19 merebak dengan pantas didorong oleh penularan varian Delta, sekali gus meningkatkan jumlah jangkitan yang tinggi empat kali dalam minggu ini.
Pasukan Petugas Khas Covid-19 Thailand hari ini melaporkan 17,669 penduduk negara itu dijangkiti Covid-19, sementara 165 pesakit meninggal dunia – kedua-duanya rekod tertinggi – sementara 21 individu yang dijangkiti pula meninggal dunia di rumah.
“Kami tidak tahu di mana akan meletakkan pesakit yang datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Bilik kecemasan di kebanyakan hospital terpaksa ditutup kerana tidak ada lagi katil yang boleh digunakan,” kata Ketua Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Somsak Akksilp, hari ini.
Di Bangkok dan wilayah bersempadan dengannya, lebih 1,200 pesakit menunggu bagi mendapatkan katil hospital dan lebih 6,000 menghubungi talian kecemasan meminta rawatan, sejak minggu lalu.
Terdapat lebih 37,000 katil hospital di Bangkok, kata Pentadbir Bangkok.
Pada awal pandemik, semua pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital, tetapi Somsak berkata, bulan lalu pihak berkuasa mengarahkan lebih 30,00 pesakit di Bangkok dan wilayah sekitarnya menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Kerajaan negara itu juga telah mengubah suai gudang bagi dijadikan hospital sementara Covid-19.
Peningkatan jumlah jangkitan itu memberi tekanan kepada kerajaan untuk mempercepatkan lagi pemberian vaksin kepada penduduknya. Setakat ini hanya 5.6 peratus daripada 66 juta penduduk telah divaksin.
Sejak tahun lalu, Thailand dilihat berjaya mengekang penularan Covid-19, namun bermula April lalu jumlah jangkitan harian semakin meningkat. Sehingga kini keseluruhan jangkitan di Thailand mencecah 561,030 kes, manakala 4,562 kematian direkodkan. – Agensi