
Anggota tentera Azerbaijan dan pasukan pengaman Russia berkawal di pusat pemeriksaan di pinggir Shusha (Shushi) di wilayah Nagorno-Karabakh, Azerbaijan pada 13 November 2020. - Gambar Reuters
Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan berkata 105 anggota tenteranya terbunuh dalam pertempuran dengan Azerbaijan sejak dua hari lepas, agensi berita Interfax melaporkan pada Rabu (14 September 2022).
Armenia dan Azerbaijan saling menyalahkan antara satu sama lain atas kejadian terbaru di Caucasus Selatan.
Dalam ucapan kepada Parlimen Armenia, Pashinyan menyalahkan Azerbaijan sambil berkata negara jirannya itu telah “mewujudkan kawalan” ke atas beberapa wilayah Armenia menyebabkan konfrontasi ketenteraan terkini, lapor agensi berita TASS.
“Jika kita mengatakan bahawa Azerbaijan telah melakukan pencerobohan terhadap Armenia, ini bermakna mereka telah berjaya mewujudkan kawalan ke atas beberapa wilayah,” katanya, menurut TASS.
Armenia sebelum ini melaporkan 49 kematian pada Selasa, sambil menambah bahawa jumlah itu mungkin meningkat.
Azerbaijan pula melaporkan 50 kematian dalam kalangan anggota tenteranya.
Pashinyan menolak gesaan daripada pembangkang untuk memperkenalkan undang-undang tentera di Armenia – seperti yang dilakukan negara itu dua tahun lalu ketika perang enam minggu dengan Azerbaijan berhubung wilayah Nagorno-Karabakh yang dipertikaikan.
Pertempuran yang tercetus pada Selasa adalah yang terburuk antara republik bekas Soviet itu sejak 2020.
Armenia dan Azerbaijan, yang berjiran, saling menyalahkan antara satu sama lain menyebabkan pertempuran baharu tercetus semalam di beberapa titik di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
Pertempuran terbaharu itu menimbulkan kebimbangan satu lagi konflik bersenjata yang besar di bekas negara Kesatuan Soviet, tatkala tentera Russia bertempur di Ukraine.
Russia mempunyai tentera pengaman di zon konflik Azerbaijan-Armenia sebagai penjamin perjanjian yang menamatkan perang enam minggu dua tahun lalu ketika kedua-dua negara berebut wilayah Nagorno-Karabakh. – Agensi