Keberkesanan vaksin terhadap ancaman varian Delta turun sekitar 25 mata peratusan sejak virus, yang mula dikenal pasti di India itu mendominasi penularan Covid-19 di Amerika Syarikat (AS).
Perkara itu ditemukan menerusi satu kajian terbaharu yang dilaksanakan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS dalam kalangan kakitangan kesihatan negara itu tahun lalu hingga bulan ini.
Kajian itu mendapati keberkesanan vaksin terhadap jangkitan Covid-19 menurun daripada 91 peratus sebelum kemunculan varian Delta, kepada 66 peratus setelah penularan varian itu pada musim panas.
Di sebalik ‘penurunan sederhana’ itu, pegawai kesihatan menekankan bahawa pengurangan dua pertiga dalam risiko jangkitan itu masih di bawah kepentingan dan manfaat pengambilan vaksin Covid-19, kata laporan yang diterbitkan dalam Jurnal CDC berkaitan ‘Laporan Morbiditi dan Mortaliti Mingguan’ (MMWR), pada Selasa, 24 Ogos 2021.
Kajian itu adalah berdasarkan maklumat daripada lebih 4,000 kakitangan perubatan yang terbabit dalam kajian di Arizona, Florida, Minnesota, Oregon, Texas dan Utah, bermula Disember 2020 hingga pertengahan bulan ini.
Ketika tempoh kajian – sebelum dan setelah kemunculan varian Delta – keberkesanan vaksin Covid-19 melawan jangkitan adalah sebanyak 80 peratus, lapor kajian itu.
Menerusi kajian itu 65 peratus kakitangan perubatan diberi vaksin Pfizer-BioNTech, 33 peratus vaksin Moderna dan dua peratus vaksin Johnson & Johnson.
Penyelidik berkata hasil penemuan itu menunjukkan penurunan keberkesanan vaksin Covid-19 setelah kemunculan varian Delta perlu ditafsir dengan berhati-hati kerana ia mungkin ada kaitan dengan tempoh masa sejak seseorang itu divaksin.
Dengan kata lain, kekebalan individu yang menerima vaksin Covid-19 mungkin menurun kerana tempoh masa yang diambil, bukan hanya disebabkan oleh varian baharu.
Kajian awal itu tidak menilai sama ada jangkitan itu menyebabkan pesakit parah atau tidak.
Namun, kajian kedua CDC yang juga diterbitkan di dalam MMWR pada hari sama, meneliti tahap keparahan jangkitan itu dengan melihat kadar kemasukan ke hospital dalam kalangan individu yang telah divaksin dan tidak divaksin di Los Angeles.
Kajian kedua itu yang meneliti lebih daripada 43,000 jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk Los Angeles mulai 1 Mei hingga 25 Julai lalu mendapati, 71.4 peratus jangkitan membabitkan individu tidak divaksin, 25.3 peratus (mereka yang telah melengkapkan vaksin), dan 3.3 peratus individu yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.
Namun, ketika akhir tempoh kajian, jangkitan Covid-19 dalam kalangan individu yang tidak divaksin adalah lima kali lebih tinggi, manakala kemasukan ke hospital pula 30 kali lebih tinggi, berbanding jumlah individu yang melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.
“Data kadar jangkitan dan kemasukan ke hospital itu menunjukkan bahawa vaksin yang diluluskan memberi perlindungan daripada jangkitan SARS-CoV-2 dan Covid-19 yang teruk dalam tempoh peningkatan penularan varian Delta,” lapor kajian itu.
Laporan itu turut menekankan usaha berterusan perlu dilakukan dalam meningkatkan program vaksinasi kerana ia mampu mencegah dan mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19. – Agensi