Ratusan penduduk England yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti varian Delta.
Menerusi kemas kini terbaharu Covid-19 pihak berkuasa Kesihatan Awam England (PHE) turut memberi amaran terdapat tanda-tanda awal bahawa individu yang telah divaksinasi boleh memindahkan varian Delta dengan mudah, sama seperti individu yang tidak divaksin.
Sejak 19 Julai hingga 2 Ogos lalu, 55.1 peratus daripada 1,467 individu yang tidak divaksin dan menerima rawatan hospital telah dijangkiti varian Delta, kata PHE, sementara 34.9 peratus atau 512 individu telah mendapat dua dos suntikan.
Untuk rekod, 19 Julai adalah hari di mana England memansuhkan semua peritah sekatan dan ‘lockdown’.
Semua vaksin yang diberikan di United Kingdom (UK) – AstraZeneca, Moderna, dan Pfizer – memerlukan dua suntikan dos.
Sehingga kini, PHE berkata kira-kira 75 peratus daripada populasi dewasa di UK menerima dua suntikan vaksin.
“Oleh kerana semakin ramai penduduk mendapat vaksin, kita akan melihat peratusan relatif orang yang divaksin di hospital lebih tinggi,” kata PHE.
Penemuan PHE seiring dengan pendapat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, yang bimbang bahawa orang yang telah menerima dua dos vaksin dan dijangkiti varian Delta boleh menyebarkannya dengan mudah kepada orang lain.
Vaksin telah terbukti memberikan perlindungan yang baik terhadap tahap jangkitan dan kematian akibat varian Delta, terutama apabila melengkapkan dua dos, namun belum ada lagi data lengkap sama ada individu yang telah divaksin boleh menjangkitkan virus itu kepada orang lain.
PHE juga mendedahkan 99 peratus daripada jangkitan Covid-19 di UK adalah disebabkan varian Delta. – Agensi