Jepun merekodkan jumlah jangkitan Covid-19 melebihi satu juta hari ini sejak pandemik itu mula melanda dunia akhir 2019 lalu yang bermula di wilayah Wuhan, China, lapor media tempatan negara itu.
Peningkatan jangkitan baharu hari ini sebanyak 15,645 kes susulan penularan varian Delta yang semakin meluas tatkala negara itu menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Tokyo 2020, melonjakkan ke angka melebihi satu juta kes, lapor agensi berita Kyodo.
Jangkitan meningkat di Tokyo serta beberapa bandar utama lain, malah Menteri Kewangan Jepun Taro Aso turut menerima kesan dan kini diletakkan di bawah program kuarantin kendiri di rumahnya.
Aso tidak menunjukkan gejala dijangkiti, tetapi keputusan saringan PCR mengesahkan beliau positif Covid-19, lapor Kyodo lagi.
Bagaimanapun, Negara Matahari Terbit itu masih mempunyai kes kumulatif terendah per populasi di antara Kumpulan Tujuh (G7) negara perindustrian, kurang dari sepersepuluh berbanding Amerika Syarikat (AS) dan seperlima daripada Jerman.
Jumlah jangkitan meningkat 144,000 sejak Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula 23 Julai lalu. Perdana Menteri Yoshihide Suga mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak menjangka dengan mengadakan sukan itu akan menyumbang kepada peningkatan jangkitan Covid-19.
Tokyo merekodkan 4,515 kes, jumlah harian tertinggi kedua selepas mencatatkan 5,042 kes pada Khamis, sementara kes di wilayah jirannya, Kanagawa melonjak kepada 2,082 kes, empat kali ganda dalam tempoh kurang dua minggu.
Jangkitan di Osaka, bandar terbesar di barat Jepun, juga meningkat kepada 1,310 kes, ketika tanda-tanda menunjukkan virus Covid-19 terutama varian Delta, mula merebak keluar dari Tokyo.
Walaupun jangkitan kelihatan cepat merebak dari Tokyo ke wilayah-wilayah lain, Suga mengambil langkah berhati-hati ketika memperluaskan perintah darurat ke seluruh negara.
“Kita perlu mengambil kira situasi tempatan. Setiap wilayah dapat mengambil langkah mereka sendiri,” kata Suga kepada wartawan di Hiroshima, di mana beliau menghadiri upacara untuk memperingati ulang tahun ke-76 pengeboman bom atom ke atas bandar itu.
Namun, krisis kesihatan yang semakin memburuk – yang menyebabkan kerajaan Jepun memperketat garis panduan mengenai rawatan – kemungkinan akan memberi tekanan kepada Suga menjelang pilihan raya yang perlu diadakan pada Oktober depan.
Beliau juga berkata keputusan sama ada membenarkan penonton ketika Sukan Paralimpik yang dijadual bermula 24 Ogos hingga 5 September akan ditentukan selepas Sukan Olimpik berakhir pada 8 Ogos ini. – Reuters