Indonesia masih melaporkan jumlah jangkitan harian Covid-19 yang tinggi. Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari Selasa, pihak berkuasa negara itu melaporkan 33,900 jangkitan baharu dikesan.
Dalam tempoh itu juga Indonesia melaporkan 1,598 pesakit Covid-19 meninggal dunia menjadikan jumlah kes kematian melonjak kepada 98,889.
Pasukan Petugas Khas Covid-19 Indonesia melaporkan sejak individu pertama dikesan dijangkiti Covid-19 di negara itu Mac tahun lalu sehingga kini lebih 3.49 juta penduduk negara itu sudah dijangkiti.
Sementara itu, jumlah mereka yang disahkan sembuh pula adalah sebanyak 31,324 pesakit, manakala pihak berkuasa kesihatan masih memantau 130,628 individu yang disyaki menjadi kontak rapat kepada virus berkenaan.
Pada masa sama kerajaan Republik Indonesia juga meningkatkan lagi usaha memberi vaksin kepada lebih 270 juta penduduknya.
Kementerian Kesihatan negara itu berkata kerajaan telah mengedarkan hampir 91 juta dos vaksin Covid-19 ke 34 wilayahnya untuk diberikan kepada penerima yang layak.
Jurucakap Program Vaksinasi Covid-19 Kementerian Kesihatan Republik Indonesia, Siti Nadia Tarmizi berkata 75 peratus atau 68.4 juta daripada keseluruhan dos itu sudah diberikan kepada penduduk.
Katanya wilayah yang memperoleh dos tertinggi ialah Jawa Timur sebanyak 13.2 dos dan 82 peratus telah digunakan, diikuti Jakarta sebanyak 13.1 juta dos dengan 80 peratus telah digunakan.
Jawa Barat memperoleh 11.6 juta dos dengan 77 peratus daripadanya telah digunakan, diikuti Jawata Tengah sebanyak 9.1 juta dos (88 peratus digunakan).
Wilayah Maluku Utara menerima paling sedikit vaksin iaitu sebanyak 221,360 dos dengan 70 peratus telah diberikan kepada penerima. – Agensi