Seorang kanak-kanak Palestin berusia 12 tahun terbunuh selepas ditembak askar rejim Zionis Israel di Tebing Barat hari ini, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Mohammed Allamy, menaiki kereta dipandu bapanya ketika kejadian berlaku berhampiran pintu masuk ke bandar Beit Ummar, di antara Bethlehem dan Hebron, lapor agensi berita Palestin, Wafa.
Wafa melaporkan budak lelaki itu ditembak di dada dan dikejarkan ke hospital di Hebron, tetapi meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Pemerintah tentera rejim Zionis Israel berkata pihaknya memandang serius dakwaan mengatakan askar Israel membunuh kanak-kanak dan siasatan akan dijalankan.
Dalam satu kenyataan pemerintah tentera rejim Israel berkata askarnya mendekati kereta itu setelah sebelumnya memerhati seseorang sedang cuba mengebumikan mayat bayi baru lahir.
Salah seorang askarnya dilaporkan menembak ke arah kereta dinaiki kanak-kanak berkenaan setelah gagal berhenti ketika diarah berbuat demikian.
Kejadian itu berlaku sehari selepas seorang lelaki Palestin berusia 41 tahun ditembak mati di pintu masuk bandar Beita di Tebing Barat, kira-kira 10 kilometer dari Nablus.
Shadi Salim, bapa kepada lima anak, yang bekerja dengan majlis tempatan Palestin ditembak mati ketika keluar untuk memperbaiki saluran air. – Agensi