Pakar penyakit berjangkit dunia memberi amaran bahawa kecepatan dan skala penyebaran virus Covid-19 di Indonesia berpotensi mewujudkan lebih banyak varian baharu yang mudah berjangkit dan dapat meningkatkan kes kematian, berbanding varian Delta.
Indonesia telah mendahului India dan Brazil pada minggu lalu setelah melaporkan jumlah kes harian tertinggi di dunia. Semalam, Indonesia melaporkan lebih dari 49,500 kes jangkitan baharu dan 1,449 kematian.
Ahli Epidemiologi Indonesia, Dicky Budiman berkata varian baharu akan tercipta di wilayah atau negara yang tidak dapat mengawal penularan wabak ini.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran sekiranya ujian kembali positif melebihi dari 5 peratus, ini bermaksud penyebaran wabak di negara itu tidak terkawal.
“Di republik ini, angka itu lebih tinggi daripada 10 peratus sejak Mac tahun lalu. Kini, jumlah itu telah meningkat lebih daripada 30 peratus. Oleh itu, besar kemungkinan Indonesia boleh mencipta varian baharu atau varian super Covid-19,” katanya.
Penyebaran virus akan sentiasa berubah melalui mutasi ke gen dan dapat mewujudkan varian baharu yang lebih kuat, katanya.
Pengarah di Institut Eijkman, Amin Soebandrio pula berkata sementara tidak ada varian baharu yang muncul di Indonesia, semua pihak harus berhati-hati dalam mencegah penyebarannya.
“Dengan meningkatnya jumlah kes harian, pihak kami tidak dapat menyangkal sekiranya hal itu mungkin berlaku dan pihak kami harus melakukan kajian dengan lebih teliti untuk mengenali pasti jenis varian baharu yang tercipta itu,” katanya.
Naib Ketua Perubatan untuk Integriti Data dan Analisis di Johns Hopkins University School of Medicine, Dr Stuart Ray berkata varian baharu Covid-19 telah dikesan di seluruh dunia setiap minggu tetapi ‘ia bersifat virus RNA seperti coronavirus yang mudah berkembang dan berubah-ubah secara perlahan-lahan’.
Di peringkat antarabangsa, terdapat empat jenis varian yang telah menular antaranya varian Alpha yang pertama kali dikenal pasti di United Kingdom (UK), Beta (Afrika Selatan), Delta (India) dan Gamma telah dikenal pasti di Brazil.
Soebandrio memaklumkan semua varian itu terdapat di Indonesia kecuali varian Gamma dan republik itu memiliki kemampuan yang kurang untuk mengesan varian baharu dalam jangka waktu yang singkat.
Lebih daripada 3,000 rantaian genom telah dikenal pasti sejak awal tahun ini dan varian Delta tetap menjadi varian terkuat manakala varian Alpha masih tetap merebak dalam komuniti.
Ahli Virologi India, Shahid Jameel berkata, varian Delta mempunyai keupayaan empat hingga lima kali lebih mudah berjangkit berbanding virus varian lain.
Jameel menggambarkan keadaan di Indonesia sekarang sama dengan gelombang kedua penularan Covid-19 di India kerana kadar vaksinasi yang rendah.
Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan hanya lapan peratus daripada populasinya yang telah diberikan vaksin sepenuhnya.
Kumpulan penyelidik Covid-19 di Amerika Syarikat juga bimbang dengan keadaan yang melanda Indonesia dan mereka memberi amaran kemungkinan varian baharu Civid-19 boleh tercipta.
Profesor Sains Metrik Kesihatan di Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan di Seattle, Ali Mokdad berkata semakin banyak jangkitan dalam komuniti, semakin tinggi peluang untuk terciptanya varian baharu.
Pasukan Petugas Covid-19 Indonesia mengeluarkan arahan khas untuk melarang pergerakan awam ke seluruh negara dan telah melanjutkan tarikh bagi penutupan sebahagian darurat (PPKM) yang telah dilaksanakan mulai 3 Julai hingga Isnin ini.
Profesor Penyakit Berjangkit di Johns Hopkins University School of Medicine, Dr Robert Bollinger memberi peringatan bahawa wabak Covid-19 berpotensi untuk berubah menjadi varian baharu setiap kali menjangkiti orang lain.
Jelasnya, risiko terciptanya varian baharu sangat tinggi bagi masyarakat dan negara yang mempunyai jumlah kes baharu tertinggi, termasuk Indonesia.
Namun, para saintis berkenaan tidak dapat meramalkan bila akan terciptanya varian baharu tersebut.
Bollinger berkata apabila virus RNA ini mula tersebar, ia akan berubah menjadi mutasi dan kemungkinan terciptanya varian baharu.
“Indonesia harus mengambil ikhtibar daripada apa yang telah terjadi kepada India, mereka perlu meningkatkan penggunaan kapasiti hospital dan penyediaan oksigen yang mencukupi,” katanya.