Jangkitan Covid-19 di Republik Indonesia hari ini melepasi angka tiga juta apabila 49,509 kes baharu dilaporkan, serentak dengan jumlah kematian harian tertinggi membabitkan 1,449 pesakit.
Kementerian Kesihatan negara itu melaporkan 49,509 kes baru, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 3,033,339.
Jumlah kematian keseluruhan juga meningkat kepada 79,032 individu.
Angka terbaharu jangkitan Covid-19 yang dilaporkan hari ini adalah yang kedua tertinggi setelah merekodkan kes tertinggi pada Rabu minggu lalu.
Negara keempat paling padat penduduk di dunia itu melaporkan jangkitan harian sebanyak 54,517 kes pada 14 Julai lalu – mengatasi jumlah kes harian di India – menjadikan Indonesia sebagai titik panas baharu Covid-19 di Asia.
Lonjakan kes positif di seluruh 34 wilayah negara ini dikaitkan dengan penularan pantas varian Delta yang lebih mudah berjangkit.
Menurut data Universiti Johns Hopkins, hanya terdapat 14 negara di dunia yang telah melebihi angka tiga juta kes bagi Covid-19 dan Indonesia telah mencatatkan banyak kes kematian Covid-19 berbanding Turki, iaitu sebanyak 50,709 kes daripada 5.6 juta kes.
Indonesia juga melaporkan sebanyak 561,384 kes aktif Covid-19 dan kebanyakan tertumpu di Pulau Jawa – wilayah paling padat penduduk di Indonesia.
Di Jawa Barat terdapat penambahan jangkitan sebanyak 10,499 kes baharu dan menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 536,755 kes.
Manakala, Jakarta mencatatkan 7,058 kes baharu dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 763,426 kes atau sebanyak 25.6 peratus daripada jumlah nasional.
Pemerintah Indonesia sebelum ini mengenakan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) atau ‘lockdown’ di seluruh Pulau Jawa dan Bali serta beberapa bandar utama lain, yang dilanjutkan sehingga 25 Julai ini.
Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat beli-belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor non essential, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restauran, kedai makan atau warung (dine in) dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan reakrasi ditutup.
Bagaimanapun, Presiden Indonesia Joko Widodo berkata sekiranya trend kes terus menurun, mulai 26 Julai pemerintah akan mula melonggarkan perintah sekatan secara bertahap. – Agensi