United Kingdom (UK) melaporkan 44,104 kes baharu Covid-19 pada Rabu serta 73 kematian, menurut angka terbaharu dikeluarkan kerajaan negara itu, hari ini.
Jumlah keseluruhan kes baharu di UK sejak seminggu lalu meningkat 35.8 peratus berbanding tujuh hari sebelumnya, sementara kadar kematian pula melonjak 59.8 peratus dari minggu ke minggu.
England pula melaporkan jumlah pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital di seluruh negara itu pada 19 Julai adalah yang tertinggi bagi tempoh lima bulan membabitkan 752 individu.
Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding minggu sebelumnya dan kematian harian tertinggi sejak 25 Februari lalu.
Selasa lalu, UK merekodkan 46,558 kes positif baharu Covid-19 dan 96 kematian – jumlah kematian tertinggi sejak Mac lalu.
Sejak pandemik itu mula melanda UK, sejumlah 128,896 pesakit meninggal dunia dalam tempoh 28 hari setelah disahkan dijangkiti Covid-19.
Angka berasingan dikeluarkan Jabatan Perangkaan UK (ONS) menunjukkan terdapat 154,000 individu meninggal dunia yang didaftarkan di negara itu di mana Covid-19 dinyatakan dalam sijil kematian.
Sementara itu, pada Selasa negara itu melaporkan 39,035 individu menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 menjadikan keseluruhannya 46,388,744 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.
Sebanyak 161,279 individu pula menerima dos kedua, menjadikan jumlah mereka yang telah menerima sepenuhnya vaksin Covid-19 sebanyak 36,404,566.
20 Julai lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) menaikkan peringkat amaran Covid-19 terhadap UK kepada Tahap 4, tertinggi dalam skala amaran agensi itu, dan menggesa rakyatnya untuk tidak ke negara itu walaupun sudah menerima vaksin.
Saranan itu dibuat tatkala UK berdepan amaran lonjakan baharu jangkitan Covid-19, yang sebahagian besarnya berpunca daripada varian Delta yang merebak pantas dan mudah berjangkit, sementara kerajaan negara itu pula memansuhkan semua sekatan dan kawalan sedia ada mulai Isnin. – Agensi