Lembaran fakta untuk vaksin Covid-19 Johnson & Johnson (J&J) telah disemak semula untuk memberi amaran mengenai risiko gangguan sistem imun yang jarang berlaku, sekali gus menyebabkan usaha imunisasi Amerika Syarikat (AS) terjejas.
Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) AS dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya menambah amaran terhadap vaksin J&J setelah menerima 100 laporan berkaitan Sindrom Guillain-Barré – suatu keadaan yang jarang berlaku di mana sistem imun menyerang dan merosakkan saraf di kalangan individu yang menerima suntikan, menyebabkan otot lemah atau lumpuh.
Setakat ini, kira-kira 12.8 juta rakyat AS telah diberi satu dos vaksin berkenaan.
FDA berkata 95 kes memerlukan rawatan di hospital dan seorang telah meninggal dunia.
Walaupun bukti yang ada menunjukkan hubung kait antara suntikan dan sindrom, agensi itu mengatakan bahawa data tersebut tidak mencukupi untuk menjelaskan secara pasti bahawa vaksin berkenaan menyebabkan penyakit.
Lembaran fakta yang disemak itu menyatakan simptom Guillain-Barré akan berlaku dalam tempoh 42 hari selepas menerima suntikan J&J.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS memaklumkan, kebanyakan kes berlaku terhadap lelaki berumur 50 tahun ke atas, dua minggu selepas menerima suntikan.
Isu itu akan dibincang dalam jawatankuasa penasihat vaksin akan datang.
Antara 3,000 dan 6,000 orang menghidapi Sindrom Guillain-Barré, setahun, menurut FDA, dan kebanyakannya pulih sepenuhnya daripada serangan penyakit itu.
Walaupun terdapat amaran baru, CDC mengatakan risiko kejadian buruk akibat vaksin Covid-19 masih rendah, sementara FDA pula memberitahu bahawa manfaat vaksin J&J dalam mencegah Covid-19 jelas melebihi risiko yang diketahui dan berpotensi.
CDC berkata kebanyakan kes kematian akibat Covid-19 disebabkan jangkitan varian Delta, sementara individu terbabit pula tidak menerima vaksin. – Agensi