Sekurang-kurangnya 370 rakyat Palestin cedera setelah pasukan keselamatan rejim Zionis Israel (IDF) melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membantah pembinaan sebuah pos penempatan haram di Tebing Barat hari ini.
Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin berkata 31 daripada yang cedera itu terkena tembakan peluru hidup dan dikejarkan ke hospital bagi menjalani pembedahan.
Rejim pengganas itu juga menggunakan dron untuk menjatuhkan puluhan tabung gas pemedih mata menyebabkan asap menyelubungi kawasan Beita di Tebing Barat tidak jauh dari Nablus.
Penunjuk perasaan turut membakar tayar dan membaling batu ke arah IDP, lapor media tempatan.
Saksi berkata tentera rejim Zionis melepaskan tembakan peluru hidup dan bersalut getah ke arah penunjuk perasaan selepas solat Jumaat di Beita.
Demonstrasi juga berlaku di bandar Kafr Qaddum dan Beit Dajan, di mana puluhan penunjuk perasaan terpaksa dirawat akibat kesan gas pemedih mata.
Askar rejim Israel juga turut menyerang penunjuk perasaan yang membantah kewujudan penempatan Yahudi di Masafer Yatta di Hebron.
Palestin menganggarkan terdapat sehingga 650,000 pendatang haram di wilayah diduduki di Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis Timur yang tinggal di 164 penempatan dan 116 di pos penempatan.
Di bawah undang-undang antarabangsa, semua penempatan Israel di wilayah yang diduduki itu adalah haram.
Ketegangan di Tebing Barat mencapai tahap baharu sejak beberapa bulan lalu dengan pusat penempatan Evyatar menjadi titik pertelingkahan apabila pendatang haram Yahudi enggan meninggalkan tanah milik rakyat Palestin.
Rakyat Palestin yang membantah kehadiran mereka bagaimanapun dihalang oleh IDF. Pada Mei lalu, 34 rakyat Palestin terbunuh, selepas diserang askar rejim Zionis. – Agensi