Presiden Pakistan Arif Alvi mengesahkan beliau positif Covid-19 selepas menerima dos pertama vaksin yang tidak dinyatakan jenisnya, dan mengingatkan rakyat bahawa antibodi tidak berkembang dengan baik.
“Saya telah disahkan positif Covid-19. Semoga Allah mengasihani semua orang yang dijangkiti Covid-19. Mendapat dos pertama vaksin, tetapi antibodi hanya berkembang selepas dos kedua. Harap semualebih berhati-hati,” kata Alvi dalam Twitternya.
Pada masa sama, Menteri Pertahanan, Pervez Khattak juga mengesahkan beliau positif Covid-19.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Imran Khan, juga mengesahkan beliau positif Covid-19, dua hari selepas disuntik vaksin Sinopharm dari China.
Bagaimanapun, pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, beliau mungkin sudah dijangkiti sebelum menerima vaksin itu.
Pakistan mula melancarkan kempen vaksinasi awal Februari lalu, dua hari selepas menerima 500,000 vaksin Sinopharm dari China.
Islamabad juga meluluskan penggunaan vaksin AstraZeneca buatan Britain-Swede dan Sputnik V buatan Russia.
Setakat ini Pakistan mencatatkan lebih 659,000 kes Covid-19, termasuk 14,200 kematian dan 598,000 sudah pulih. – Agensi