Jika dilihat kepada penampilannya ketika menyampaikan ceramah atau pendapat berkaitan hal ehwal Islam, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria sebenarnya suka bergurau dengan sesiapa sahaja.
Beliau akan menyelitkan elemen senda gurau ketika menyampaikan ceramah berkaitan pelbagai isu semasa, hukum agama dan politik yang sentiasa diberikan perhatian pelbagai pihak.
Anak bongsunya, Datuk Ahmad Wafi, 44, berkata Allahyarham suka bercerita mengenai pelbagai pengalaman hidup ketika usia mudanya.
“Sebagai contoh semasa pulang dari ceramah dari merata tempat, sebab dahulu tiada lebuh raya, hanya ada jalan kampung sahaja, jadi adalah ‘cerita-ceritanya’ yang beliau suka berkongsi dengan anak cucunya.
“Arwah juga sering menasihatkan kami adik beradik supaya sentiasa patuh dan tidak melanggar perintah Allah. Sekiranya kami mempunyai apa jua masalah sering kali kami mendapatkan nasihat daripadanya, arwah memang rapat dengan kesemua anak-anaknya,” katanya ketika ditemui media di kediaman Allahyarham di Kampung Melayu Sungai Rapat hari ini.
Harussani yang menjawat jawatan Mufti Perak sejak 1985, menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 2.45 petang semalam selepas lebih seminggu mendapatkan rawatan akibat Covid-19 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh di sini.
Memetik laporan agensi berita Bernama, Ahmad Wafi berkata kesihatan Allahyarham mulai merosot sejak Ogos tahun lepas akibat serangan strok dan menyebabkan beliau sukar untuk bertutur serta hanya menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai mufti di kediamannya sahaja.
Beliau berkata Allahyarham disahkan positif Covid-19 pada 11 Mei lalu selepas memperoleh keputusan ujian calitan pada hari yang sama dan turut disahkan positif adalah isterinya Puan Seri Ainon Abdul Ghani, 81 dan beberapa lagi ahli keluarga serta dua orang jururawat peribadinya.
“Waktu arwah dibawa menaiki ambulans bersama-sama dengan isterinya, beliau nampak masih sihat seperti biasa. Semasa menerima rawatan, kami hanya berkomunikasi mendapatkan maklumat mengenai tahap kesihatan arwah menerusi salah seorang kakak yang bertugas sebagai doktor di hospital berkenaan.
“Doktor memaklumkan, virus itu telah menyebabkan jangkitan pada paru-paru dan buah pinggang, dan kesihatannya mulai merosot sejak pukul 12 tengah hari semalam. Pada 2.45 petang, doktor yang merawat arwah mengesahkan abah saya telah meninggal dunia,” katanya.
Arwah Harussani meninggalkan seorang isteri, Ainon, empat orang anak yang terdiri daripada Ahmad Abdul Hakim Mazhar, 54; Najah, 53; Naelah, 47 serta Ahmad Wafi, selain 20 orang cucu dan tiga cicit. Seorang lagi anaknya Abdul Hakam meninggal dunia pada usia 23 tahun akibat kemalangan jalan raya di Mesir pada 1994).
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat di sini oleh petugas kesihatan pada kira-kira pada jam 6.20 petang semalam dalam suasana hujan renyai, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.