Bencana kepala air: Jalan pintasan Bukit Tinggi, Jalan Lama Gombak-Bentong ditutup

November 26, 2023 · Isu semasa

Jalan Persekutuan FT68 iaitu Jalan Lama Gombak-Bentong bagi Seksyen 43.00 ke 43.40 dan Jalan Pintasan Bukit Tinggi Seksyen 1.98 hingga 2.58 di Bentong dekat sini, ditutup kepada semua kenderaan bermula hari ini hingga 1 Dis ini ekoran kerosakan struktur jalan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bentong menerusi kenyataan dimuat naik di laman sosial memaklumkan penutupan jalan tersebut yang terletak berhampiran simpang tiga Janda Baik bertujuan untuk menjamin keselamatan pengguna, lapor Bernama.

Sehubungan itu, mereka yang ingin ke Janda Baik boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur Karak ke Persimpangan Bukit Tinggi menuju ke stesen minyak BHP Bukit Tinggi dan melalui Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tinggi.

Pengguna diminta mematuhi papan tanda disediakan dan boleh menghubungi pejabat JKR Bentong di 09-2224040 untuk pertanyaan.

Jalan tersebut antara lokasi terlibat dalam kejadian banjir puing yang berlaku selama tiga jam bermula 8 malam semalam yang menyebabkan berlaku aliran air membawa batu-batan dan enapan selain terdapat pokok tumbang.

Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman menerusi kenyataan di laman sosial memaklumkan selain keretakan jalan, kejadian itu juga menyebabkan runtuhan cerun dan kerosakan harta benda penduduk yang boleh menjejaskan aktiviti harian serta ekonomi mereka sebagai kawasan pelancongan.

Justeru, beliau memohon Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian menyeluruh bagi kerja mitigasi yang diperlukan khususnya di kawasan berisiko seperti Bukit Tinggi dan Janda Baik, selain siasatan lanjut untuk melihat jika terdapat kejadian seperti penerokaan haram di situ.

“Dalam masa sama, kerja baik pulih segera cerun dan jalan serta kerja pembersihan dan mendalamkan sungai akan dilaksanakan JKR serta JPS buat sementara waktu sebelum pelan baik pulih jangka panjang dilakukan,” katanya.

Young Syefura berkata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim NIk Nazmi Nik Ahmad juga telah meninjau lokasi kejadian pada pagi tadi, selain turut mengadakan mesyuarat tergempar dengan agensi berkaitan.

Sementara itu, JPS menerusi kenyataan memaklumkan banjir puing itu berlaku disebabkan hujan selama tiga jam dengan keamatan sederhana iaitu antara 23.5 dan 53.0 milimeter (mm) yang mengakibatkan beberapa rumah dan permis perniagaan dinaiki air dengan purata kedalaman 0.3 hingga 0.6 meter sebelum surut pada 11.30 malam hari sama.

“Selain itu, banjir di lokasi berkenaan berpunca daripada kejadian kepala air yang membawa batu-batan dan enapan serta menyebabkan lintasan jalan yang dibina tersumbat mengakibatkan aliran anak Sungai Tanglir melimpah ke jalan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan kawasan terlibat adalah antara kawasan yang termasuk dalam kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Daerah Bentong, yang merupakan penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah tersebut.

Berita berkaitan
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024· Isu semasa
Banjir Kelantan: Penduduk di Kuala Krai terputus hubungan, jalan tenggelam
December 27, 2023· Isu semasa
Pasaran saham ditutup rendah, prestasi pasaran bercampur-campur
October 30, 2023· Isu semasa
Ringgit jatuh mencecah paras RM4.80 berbanding dolar, terburuk sejak 25 tahun
October 23, 2023· Isu semasa
Popular
Elak risiko Demam Denggi Berdarah
August 25, 2021
‘Mafia wanita’ bawa parang terlibat bunuh lelaki di Bukit Mertajam
May 15, 2022
7 jenis makanan untuk tingkatkan imunisasi badan
September 25, 2021
Pahang tangguh buka semula Tioman, Genting Highlands
September 28, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Rosmah disaman 1MDB AS$346 juta, tuntut pulangkan barang mewah
May 10, 2024 · Isu semasa
Dulu kempen tangkap, sekarang kerajaan Anwar sambung kontrak Azam
May 10, 2024 · Isu semasa
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024 · Isu semasa
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024 · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok