Amerika Syarikat (AS) akan membuka semula kedutaannya di Baitulmaqdis, serta menjalin kembali hubungan dengan rakyat Palestin, kata Setiausaha Negara Anthony Blinken.
Kenyataannya menyusul pertemuan dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas di Ramallah dalam lawatan rasmi ke wilayah yang diduduki secara haram oleh rejim Zionis Israel.
Pada masa sama Blinken berkata AS akan memberi bantuan kewangan kecemasan sebanyak AS$5.5 juta bagi membantu memulihkan semula Semenanjung Gaza dan AS$32 juta kepada prtubuhan bantuan antarabangsa.
“Kami akan terus menentang sebarang amalan unilateral yang menyebabkan berlakunya keganasan antara Israel dan Palestin,” katanya.
AS memindahkan kedutaanya di Tel Aviv pada Mei 2018 ketika pentadbiran Donald Trump selepas mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang baharu pada tahun sebelumnya.
AS sebelum itu hanya mempunyai pejabat konsulat di Baitulmaqdis Timur. Tindakan membuka kedutaan di Baitulmaqdis menimbulkan bantahan rakyat Palestin serta negara Islam, tetapi tidak dipedulikan.
Palestin juga dilaporkan sudah mengemukakan bantahan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung langkah AS membuka kedutaan di Baitulmaqdis dengan mendakwa tindakan itu melanggar perjanjian antarabangsa.
ICJ berkata, bantahan Palestin dibuat berdasarkan Konvensyen Vienna 1961 berkaitan hubungan diplomatik iaitu pembukaan kedutaan mesti dibuat di sebuah negara yang merdeka, sedangkan Baitulmaqdis dikawal secara ketenteraan oleh rejim Israel, dan kependudukannya juga dipertikai. – Agensi