Ketika wilayah mereka terus dibom rejim Zionis Israel, rakyat Palestin di Semenanjung Gaza tidak meletakkan apa-apa harapan kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang diadakan di New York hari ini.
Pada masa sama, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberitahu UNGA jika ada neraka di bumi ini, ia adalah kehidupan kanak-kanak di Semenanjung Gaza.
Beliau mendesak supaya pertempuran kedua-dua pihak – rejim Zionis Israel dan pejuang Palestin – ditamatkan serta-merta, sambil menyatakan rasa terkejut dengan pengeboman berterusan oleh tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Sementara itu, wartawan Al-Jazeera di Ramallah melaporkan rakyat Palestin tidak mengharapkan usaha diplomatik dan sidang PBB yang berlangsung sekarang, mampu membantu mereka yang berdepan serangan keji rejim Zionis Israel.
“Rakyat Palestin di jalanan, terutama belia tidak lagi percaya kepada apa sahaja. Mereka tidak akan mendengar apa yang berlaku sekarang.
“Mereka akan mendengar jika ada seseorang yang datang memberitahu sesuatu berita yang baik,” katanya.
Pada UNGA itu, Menteri Luar Pakistan Shah Mahmood Qureshi mendesak Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengeluarkan gesaan untuk menghentikan keganasan Israel ke atas penduduk Palestin.
Katanya, rejim Israel telah melakukan serangan tanpa henti ke atas rakyat Palestin, yang mengakibatkan sejumlah kematian dan akses terhad kepada makanan, air, kebersihan dan perkhidmatan kesihatan.
“Ketika kita bercakap, rakyat di Palestin dibunuh tanpa dikenakan tindakan. Kematian di setiap rumah di Gaza. Semenanjung Gaza berada dalam kegelapan, satu-satunya cahaya adalah letupan bom rejim Israel,” katanya.
Sementara itu, wartawan Al-Jazeera yang melaporkan dari Ibu Pejabat PBB di New York berkata, walaupun terdapat ucapan yang hebat dari wakil badan dunia itu, tidak ada kenyataan kukuh yang
“Kita melihat setiap wakil negara memberi kenyataan yang kuat secara individu. Sebagai sebuah pertubuhan, kita tidak menjangkakan ada kenyataan kukuh akan dikeluarkan, sebagaimana dilihat pada sidang Majlis Keselamatan,” katanya.
Bagaimanapun, agensi berita Russia, Tass, melaporkan Perancis menyediakan deraf resolusi Majlis Keselamatan PBB menuntut supaya gencatan senjata diadakan antara Israel dan Palestin, bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Semenanjung Gaza.
Memetik sumber diplomatik Tass melaporkan sehingga kini deraf resolusi itu akan diedarkan kepada anggota majlis untuk ulasan sebelum undian dijalankan untuk meluluskannya atau sebaliknya.
Sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang resolusi kukuh dikeluarkan oleh PBB. – Agensi