Wanita UMNO tandus pemimpin

February 19, 2023 · Politik

Pencalonan semula bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Tan Sri Shahrizat Jalil bagi merebut kerusi Ketua Wanita UMNO, membuktikan parti itu kini ketandusan pemimpin pelapis bagi mengetuai sayap parti itu.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata Wanita UMNO dilihat tidak mempunyai banyak pilihan individu yang setanding dengan bekas pimpinan sebelum ini seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman dan Tan Sri Napsiah Omar.

Jumaat lalu, Shahrizat yang juga bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, secara rasminya bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO yang pernah diterajuinya di antara 2008 hingga 2018, apabila menyerahkan kertas pencalonan di Ibu Pejabat UMNO.

Sebelum ini, dilaporkan 147 ketua Wanita UMNO bahagian di seluruh negara, menggesa Shahrizat kembali menerajui sayap itu memandangkan legasi dan reputasinya dikatakan masih kekal walaupun selepas bersara daripada politik.

Dr Mohd Izani yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT itu berkata, faktor berkenaan menyebabkan pimpinan dan akar umbi yang tidak berpuas hati dengan kepemimpinan Datuk Seri Noraini Ahmad, terpaksa mengharapkan Shahrizat kembali memimpin Wanita UMNO.

“Wanita UMNO dilihat ketandusan pemimpin. Selepas Noraini, kita tidak nampak siapa pengganti, sedangkan dulu ada Rafidah, Siti Zaharah, Napsiah dan Shahrizat sendiri.

“Ini menunjukkan Wanita UMNO tidak berjaya melahirkan pemimpin peringkat kebangsaan yang menyerlah dan boleh ditonjolkan sebagai pemimpin negara.

“Perkara ini perlu dilihat semula oleh Wanita dan pimpinan tertinggi parti itu kerana ini akan memberi kesan jangka panjang kepada masa depan parti, khususnya dalam keadaan UMNO yang lemah ketika ini,” katanya menurut laporan BH hari ini (19 Februari 2023).

Dr Mohd Izani melihat situasi yang menyaksikan Noraini yang menerajui Wanita UMNO sejak 2018 tiada dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, menjadi permulaan yang membuka ruang kepada pimpinan lain mencabarnya dalam pemilihan kali ini.

Katanya, kemunculan semula Shahrizat menjadi cabaran besar buat Noraini kerana tanpa jawatan Kabinet, bekas Menteri Pengajian Tinggi itu dilihat tidak mendapat kepercayaan pimpinan tertinggi UMNO, sekali gus tidak dapat mengangkat suara Wanita UMNO ke dalam kerajaan.

Mohd Izani juga yakin Shahrizat tidak akan menawarkan diri bertanding semula jika tidak memiliki sokongan yang dianggap mencukupi daripada bahagian dan akar umbi.

“Apabila parti tidak calonkan Noraini untuk memegang jawatan dalam Jemaah Menteri, ia menunjukkan ada isu yang berlaku, selain suara Wanita UMNO tidak lagi dianggap penting.

“Namun, pencalonan Shahrizat juga boleh menjadi peluang buat Noraini untuk membuktikan pengaruh dan popularitinya, seterusnya memperkukuh kedudukan jika berjaya menumbangkan Shahrizat,” katanya.

Ditanya sama ada pencalonan semula Shahrizat sebagai langkah ke belakang buat Wanita UMNO, Mohd Izani berpandangan, anggota sayap melihat keterampilan, ketegasan dan keberanian Shahrizat sebagai perkara yang perlu ada dalam pimpinan Wanita UMNO, yang mungkin tidak dilihat pada Noraini.

“Wanita UMNO mungkin melihat ada sesuatu yang istimewa pada Shahrizat, apatah lagi beliau berpengalaman luas dan ia amat diperlukan untuk menjadikan Wanita UMNO kembali hebat dan digeruni.

“Walaupun Shahrizat pernah didakwa terpalit dengan skandal penyelewengan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), perwakilan mungkin lebih melihat keupayaannya berbanding isu itu,” katanya.

Popular
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024
PRU tak sesuai tahun ini, menteri PN perlu bertegas, kata Muhyiddin
October 4, 2022
Azalina cemar nama baik institusi perundangan negara, kata PN Selangor
August 29, 2022
Kritik kes mahkamah Zahid, seorang pemimpin Bersatu bakal didakwa pada Jumaat
November 24, 2023
Lagi Politik terkini
Saingan empat penjuru PRK Kuala Kubu Bharu, tiada wakil MCA berarak
April 27, 2024 · Politik
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024 · Politik
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024 · Politik
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024 · Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok